Bajet 2022 tidak pinggir negeri kurang maju

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Bajet 2022 kali ini tidak meminggirkan negeri-negeri kurang maju, termasuk Kedah yang mendapat peruntukan khas bagi tujuan tersebut.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata antara peruntukan yang negeri terima ialah untuk projek mencegah hakisan di Pantai Merdeka dan penyelenggaraan tapak arkeologi Lembah Bujang.

- Advertisement -

Katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi perhatian terhadap aset warisan sejarah di kawasan Lembah Bujang, terutama Sungai Batu.

“Ini diyakini akan menjadikan tempat berkenaan sebagai tarikan baharu peminat dan komuniti penyelidik dari seluruh dunia.

“Selain itu, peruntukan yang disalurkan kepada projek menaik taraf infrastruktur di kawasan luar bandar, termasuk program Digital Negara memberi manfaat kepada rakyat,” katanya di sini.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri merakam penghargaan kepada Kerajaan Pusat di atas peruntukan sebanyak RM20 juta kepada negeri-negeri kurang maju, termasuk Kedah.

Sementara itu, katanya bantuan pemulihan ekonomi yang disalurkan kepada golongan usahawan kecil, pekebun kecil dan penoreh getah, diharap dapat membantu mereka keluar daripada belenggu kemelesetan pasca pandemik.

Katanya, kerajaan negeri juga menghargai peruntukan ‘one-off’ kepada guru takmir dan pegawai-pegawai masjid.

Menteri Besar berkata, Kedah menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran beras negara dan pada masa sama, terpaksa mengekalkan keluasan sawah sedia ada untuk tujuan berkenaan.

“Kerajaan negeri juga terpaksa mengekalkan kawasan hutan simpan seluas 341,000 hektar yang sebahagian besar di Hulu Muda, untuk dijadikan sebagai kawasan tadahan sumber air, bukan sahaja untuk kegunaan rakyat Kedah, malah Pulau Pinang,” katanya.

Berdasarkan `pengorbanan’ itu, beliau berharap dapat berunding dengan Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/21

- Advertisement -