Muzakarah Khas MKI termasuk cadangan rapat saf solat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya mengatur Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang akan diadakan pada 20 Oktober ini.

Katanya, ini susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai peralihan fasa dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Oktober lalu.

- Advertisement -

“Muzakarah pada kali ini bertujuan untuk mendengar taklimat mengenai penilaian risiko semasa Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan membincangkan beberapa isu SOP khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau.

“Ini termasuklah cadangan SOP untuk merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah,” ujarnya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, semua ahli muzakarah yang terdiri daripada mufti-mufti negeri, ahli-ahli yang dilantik dalam kalangan pakar telah dijemput hadir sementara pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga turut dijemput.

“Saya percaya, suatu keputusan demi maslahah umum akan dapat dicapai dan berharap aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah seperti sedia kala akan dibenarkan dengan SOP tertentu,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/10/2021

- Advertisement -