Apabila Dr Rais Yatim menegur Bahasa Kebangsaan YB

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Tidak dapat dibayangkan apa akan terjadi jika Tan Sri Dr Rais Yatim menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Sudah tentu ramai yang `disekolahkan’ kerana penggunaan Bahasa Melayu yang tidak betul.

Mengikuti persidangan Dewan Negara, ada Timbalan Menteri ditegur dan tidak kurang dipuji kerana Bahasa Melayu yang mereka gunakan. Malah, melucukan apabila melihat Ahli Dewan Negara serta Menteri atau Timbalan Menteri yang `takut-takut’ ketika berbahasa, mungkin kerana bimbang ditegur Yang di-Pertua.

- Advertisement -

Dr Rais ibarat seperti seorang guru yang telinganya tajam mendengar anak murid membaca buku atau menjawab soalan, tetapi beliau memang mantan guru dan mungkin kerana itu, naluri gurunya masih kuat.

Pengalaman sebelum ini membuat liputan program Dr Rais ketika berstatus menteri, beliau akan berucap atau ketika sesi sidang media, menjawab soalan dengan Bahasa Melayu yang teratur, ayat disusun kemas dan pemilihan perkataan juga tepat.

Jika ditanya dalam Bahasa Inggeris, beliau juga akan menjawab dengan bahasa yang baik. Bukan seperti sesetengah Menteri atau Timbalan Menteri yang bercakap separuh Bahasa Melayu, separuh Bahasa Inggeris. Akhirnya kedua-dua bahasa tunggang langgang.

Sesuai dengan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi, maka sudah tentu bahasa yang digunakan di institusi Parlimen, Dewan Negara dan Dewan Rakyat, menggunakan Bahasa Melayu.

Rabu lalu, Dr Rais menegur Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, kerana menggunakan perkataan `homestay’ sedangkan perkataan itu ada dalam Bahasa Melayu, iaitu inap desa, istilah yang diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ahli Parlimen Segamat menggunakan perkataan `homestay’ ketika menjawab soalan Senator Datuk Isa Ab Hamid mengenai jumlah usahawan kraf tangan dan pengusaha inap desa yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selesai sahaja Santhara menjawab, Rais bertanyakan terjemahan ‘homestay’ dalam Bahasa Melayu dan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya memberitahu, inap desa.

Namun Timbalan Menteri berkenaan masih menggunakan perkataan `homestay’ apabila menjawab soalan tambahan Isa menyebabkan Dr Rais menegur dengan berkata: “Tidak ada sekali pun YB (Yang Berhormat) sebut inap desa. Saya bukan apa, inilah sebabnya Bahasa Kebangsaan kita luntur. Ada istilah, kita tidak pakai.”

Dr Rais kemudian meminta semua pihak supaya sama-sama menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Yang Dipertua Dewan Negara bukan hanya menegur, malah memuji apabila Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, menggunakan perkataan penyumberluaran menggantikan `outsource’ dalam Bahasa Inggeris

Dr Rais berkata, ini kali pertama perkataan penyumberluaran digunakan dan gembira kerana istilah Bahasa Melayu digunakan.

Di Dewan Rakyat, minggu ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkaitan isu Bahasa Melayu, berkata: “Dalam Dewan yang mulia ini Tuan Yang di-Pertua, ada beberapa Yang Berhormat sangat fasih berbahasa Melayu. Contohnya Yang Berhormat Ayer Hitam, Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) cukup baik Bahasa Melayunya, kalah Bahasa Melayu saya.”

Namun, Ahli Parlimen yang penguasaan Bahasa Melayu sekadar cukup makan pun masih ada sehinggakan kelihatan seperti merangkak-rangkak apabila bercakap.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen yang sewenang-wenang menggunakan perkataan `dengan izin’ untuk menggunakan Bahasa Inggeris sedangkan perkataan itu bukan terlalu sukar atau tiada dalam Bahasa Melayu.

Bagus juga ada Yang di-Pertua seperti Dr Rais di institusi Parlimen. Jika tidak, segelintir YB terus bersikap tidak kisah memartabatkan Bahasa Melayu.

Keris di pinggang lambang anak bangsa,
Songkok di kepala tanda taat setia,
Bahasa Kebangsaan sentiasa diperkasa,
Itulah dia Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara.

Pantun Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh di Dewan Negara, mungkin dapat menjelaskan segalanya. – HARAKAHDAILY 15/10/21

- Advertisement -