Kerajaan peka masalah kewangan institusi pengajian agama

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah dianggap prihatin terhadap masalah kewangan yang dihadapi institusi pengajian agama rakyat di negeri itu.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, kerajaan negeri mengambil peduli kekangan kewangan yang dihadapi pengelola Sekolah Agama Rakyat (SAR), institusi tahfiz dan pondok di Kedah.

Katanya, bantuan sebanyak RM12.3 juta yang disumbang kerajaan negeri sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan pihak pengurusan institusi berkenaan.

- Advertisement -

“Ini membuktikan kerajaan negeri menitik berat soal pendidikan selain peka masalah yang dihadapi warga institusi pengajian terbabit.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kaish kepada Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan lain-lain agensi yang terlibat,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurutnya juga langkah kerajaan negeri itu membuktikan kerajaan PN Kedah tidak hanya menitikberatkan pembangunan fizikal sahaja.

Namun kata beliau dalam masa yang sama mengambil berat dan cakna berkenaan kebajikan institusi pendidikan Islam khasnya SAR, Tahfiz dan institusi pondok.

Pada 6 Oktober lalu, wakalah agihan zakat berjumlah RM159,000 diagihkan kepada 53 institusi pengajian pondok, disampaikan oleh Menteri Besar di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.

Kerajaan negeri juga sebelum ini menyerahkan bantuan pengurusan sebanyak RM5,000 secara one-off kepada institusi pengajian agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Dr Ahmad Fakhruddin juga berkata, pihaknya berharap skim bantuan itu dapat diteruskan bagi membantu pihak pengurusan institusi pendidikan agama di Kedah yang terjejas akibat penularaan pandemik Covid-19.

Sebelum ini juga 191 sekolah agama rendah dan menengah termasuk tahfiz serta pondok menerima bantuan berjumlah RM955,000 serta bantuan one-off RM300 kepada 4,979 guru agama lantikan lembaga. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -