Gangguan bekalan air di Lembah Klang: Penduduk jangan panik

Shahir Adnan
- Advertisement -

Oleh  KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur yang terlibat dengan gangguan bekalan air bermula esok, 12 Oktober hingga 16 Oktober ini dinasihatkan agar tidak panik dan tertekan dengan situasi ketiadaan air kali ini  memandangkan ramai mengeluh kerana masalah itu kembali dialami mereka.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ketiadaan bekalan air kali ini adalah disebabkan oleh gangguan air berjadual, yang telah dirancang rapi oleh pihak Air Selangor. 

- Advertisement -

Menurutnya, selaku operator, Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan mengenai pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Tambah Shahir yang juga merupakan Ahli Suruhanjaya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor (SPAN),  pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula jam 9  pagi, esok 13 Oktober dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 16 Oktober ini.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar. Pelaksanaan kerja-kerja ini telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan.

“Selaku Ahli Suruhanjaya SPAN, saya menyokong penuh usaha Air Selangor demi merealisasikan visi kita untuk menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat secara mapan, berdaya harap dan mampu untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, hari ini.

Sehubungan  itu, beliau menasihatkan penduduk yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini. 

“Ketika inilah kita perlu berhemah dalam menggunakan air untuk kegunaan harian dan menghentikan sebarang bentuk pembaziran,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya lagi, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. 

Menurutnya, bagi  sebarang maklumat mengenai perkhidmatan air di negara ini, boleh mengemukakan cadangan atau aduan kepada [email protected]. Maklumat semasa juga boleh didapati menerusi semua saluran komunikasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Forum Air (Wira Air) termasuk Twitter, Facebook, Instagram. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -