Kebenaran rentas negeri legakan agensi pelancongan

Azelan Azeman (tengah) bersama ahli keluarganya mengusahakan syarikat pelancongan, Sea Splash Travel Sdn. Bhd. di Kangar, Perlis.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Keputusan kerajaan membenarkan rakyat yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri bermula semalam turut melegakan agensi-agensi pelancongan di negara ini.

Eksekutif syarikat pelancongan, Sea Splash Travel Sdn. Bhd., Azelan Azeman berkata, pihaknya menarik nafas lega dan bersyukur dengan pengumuman kerajaan yang membenarkan warga Malaysia merentas negeri.

- Advertisement -

Menurut beliau, syarikatnya sudah hampir dua tahun tidak dapat beroperasi dengan baik ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Alhamdulillah, pengumuman Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lepas  merupakan satu kelegaan besar kepada pihak kami yang kini sudah bersedia menyambut  kedatangan pelancong.

“Dua tahun perniagaan kami mengalami kerugian, hotel pun tidak dapat beroperasi. Jadi, apabila operasi boleh dibuka semula kami amat bersyukur,” katanya kepada HarakahDaily ketika dihubungi di sini.

Azelan bersama keluarga sudah 16 tahun berkecimpung dalam industri tersebut dan mempunyai pelanggan tetap yang menggunakan perkhidmatan mereka.

Beliau juga memberi komitmen mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk mengelakkan penularan wabak.

Menurutnya juga setelah kerajaan membuka gelembung pelancongan di Langkawi bermula 16 September lalu, beliau menerima lebih 100 tempahan daripada pelanggan.

“Sekarang saya berada di Langkawi bagi menguruskan penginapan untuk kemasukan pelancongan seramai 180 orang pada Disember depan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut mengingatkan rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan pertambahan kes baharu Covid-10 tidak kembali berlaku.

Sehubungan itu, Azelan berharap langkah kerajaan tersebut diharap dapat membantu merancakkan lagi sektor pelancongan domestik ke arah menuju fasa endemik. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -