Kurang lima peratus guru Yik belum terima vaksin

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Hanya tiga hingga lima peratus daripada 2,600 kakitangan dan tenaga pengajar Yayasan Islam Kelantan (Yik) belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ada di antara mereka masih ragu-ragu dan takut untuk mengambil suntikan berkenaan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Timbalan Pengarah Yik (Pengurusan) Shamsul Abu Bakar berkata, sebelum ini lebih 100 individu berkenaan menolak vaksin dengan alasan mengandung dan mempunyai masalah kesihatan.

- Advertisement -

Katanya masaalah itu ditimbulkan ketika pengurusan Yik mengadakan pertemuan dengan kakitangan terbabit.

“Pada masa yang sama mereka turut diberi kaunseling serta nasihat berhubung kepentingan vaksinasi bagi mengelak penularan Covid-19.

“Ada antara mereka berubah fikiran selepas pertemuan dan menyatakan persetujuan menerima vaksin,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan 30 Sofa Terpakai oleh Hotel The Grand Renai (TGR) di sini, hari ini.

Turut hadir pengurus besar hotel itu, Amer Ahmad.

Shamsul berkata, dengan perkembangan tersebut pihaknya menjangka semua kakitangan Yik akan lengkap menerima vaksin November ini.

Mengenai PICK Remaja membabitkan pelajar di bawah Yik, katanya ia berjalan lancar.

Bagaimanapun beliau tidak meenafikan terdapat segelintir pelajar yang tidak mahu mengambil suntikan vaksin Covid-19 kerana ada yang takut dan ibu bapa tidak memberi keizinan.

Beliau bagaimanapun berharap keputusan itu akan berubah khususnya sebelum sesi persekolahan baru dibuka, memandangkan vaksinasi amat penting bagi menjaga keselamatan anak-anak. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -