UniMAP terima 1,901 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda sesi 2021/2022

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah merekodkan kemasukan seramai 1,901 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda bagi Semester Satu Sesi 2021/2022 pada Sabtu, 9 Oktober lepas.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, mereka terdiri daripada 947 pelajar lelaki dan 954 pelajar perempuan itu bakal mengikuti sesi minggu suai kenal yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari secara dalam talian terlebih dahulu bagi memperoleh maklumat penting sepanjang mengikuti pengajian di universiti berkenaan.

- Advertisement -

“Pelajar-pelajar baharu ini akan mula mengikuti pengajian secara hibrid apabila pihak universiti membenarkan mereka ke kampus bagi fasa kedua iaitu mulai 22 Oktober ini bersama pelajar tahun dua dan pascasiswazah.

“Pihak universiti ini akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi, Pengoperasian Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga UniMAP terjamin,” kata beliau ketika berucap di Majlis Taklimat Waris Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2021/2022 secara dalam talian.

Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor, pegawai-pegawai utama, dekan-dekan fakulti dan ketua-ketua jabatan UniMAP.

Tambah beliau, UniMAP turut menetapkan syarat dan keutamaan dalam membenarkan pelajar hadir ke kampus antaranya pelajar yang dikategorikan pesakit Covid-19, kontak rapat atau suspek tidak dibenarkan hadir, namun mereka boleh memohon untuk hadir ke kampus selepas sihat sepenuhnya daripada virus berkenaan.

“Sebagai persediaan pelajar pulang ke kampus, UniMAP turut membangunkan Sistem Elektronik-Terminal Integrasi Kampus Alam (ETIKA) bagi membantu universiti menguruskan keselamatan dan kesihatan warganya dengan lebih efektif.

“Sistem yang dibangunkan Pusat Keselamatan & Kesihatan Persekitaran Pekerjaan (COSHE) UniMAP ini digunakan bagi membuat penilaian dan menguruskan risiko berlaku kes jangkitan COVID-19 kepada semua warga kampus dan pihak yang mempunyai urusan dengan universiti ini,” kata beliau yang turut mengucapkan tahniah kepada waris dan pelajar yang terpilih menjadi warga baharu UniMAP.

Tambahnya, UniMAP turut menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 semasa proses kemasukan pelajar kelak, selain menyediakan pusat isolasi di Kolej BUMITA, Pauh Putra bagi urusan kes-kes bergejala atau positif COVID-19.

Selain pelajar baharu, UniMAP bakal menerima kehadiran pelajar sedia ada seramai 9,830 yang lengkap vaksin secara berperingkat mulai 15 Oktober ini. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -