Pulau Batu Puteh: Semak semula keputusan ICJ demi maruah negara

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 yang memutuskan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca  menjadi hak Singapura wajar disemak semula demi maruah dan kedaulatan negara.

Ketua Penerangan PAS Johor, Rusman Kemin, berkata walaupun pulau itu hanya bersaiz seluas padang bola dan tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi, namun dari sudut maruah dan kedaulatan negara Pulau Batu Puteh mesti dikembalikan sebagai milik kerajaan Malaysia yang sah.

- Advertisement -

Katanya, tindakan itu boleh dilakukan melalui undang-undang yang mesti disemak semula keputusan ICJ sebelum ini.

“Kami sangat menyokong hasrat kerajaan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh kerana bagi kami pulau tersebut adalah milik kerajaan Malaysia. 

“Berdasarkan fakta geografi, Pulau Batu Puteh berada di dalam perairan wilayah kita dan jarak pulau itu adalah lebih jauh dari titik terdekat Singapura iaitu, Changi yang terletak 46 kilometer (km) atau 25 batu nautikal. 

“Sementara, jarak Pulau Batu Puteh hanya 14.3 km atau 7.7 batu nautikal dari Johor, iaitu dari Tanjung Penyusop, Mukim Pengerang,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Menurut Rusman, ketika perjanjian Inggeris-Belanda pada 17 Mac dan Perjanjian Crawfurd pada 2 Ogos 1824, apabila Kesultanan Johor menyerahkan Singapura dan 19 km (10 batu nautika) pulau-pulau serta perairan di sekelilingnya kepada pihak British, penyerahan itu sama sekali tidak termasuk Pulau Batu Puteh. 

Katanya, Temenggung dan Baginda Sultan Johor ketika itu memberi kebenaran secara bertulis kepada pihak British untuk membina rumah api di atas pulau tersebut hanya pada tahun 1844.

Justeru, kata Rusman, perjanjian itu telah menjadi lagi satu lagi bukti kukuh bahawa Kesultanan Johor sememangnya mempunyai kedaulatan serta penguasaan di perairan pulau terbabit.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yakaob mengumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes pulau itu.

Penubuhan itu, kata Ismail Sabri, adalah bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -