Makanan iklim sederhana boleh ditanam di Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sesetengah sayur-sayuran daun hijau yang dikelompokkan sebagai makanan unggul (superfood) dan hanya tumbuh subur di kawasan beriklim sederhana, sebenarnya boleh ditanam di kawasan tropika.

Ini yang dibuktikan oleh sebuah syarikat, Sustenir Agriculture yang menggalakkan konsep kebun bandar menggunakan kaedah penanaman lestari mesra alam sekitar, di atas tapak seluas 7,500 kaki persegi di Kajang, Selangor.

Tapak itu dipenuhi sayur-sayuran bukan tanaman asal seperti kubis kerinting (kale) Kinky dan Toscano, selada, serta salad ‘rocket’ atau arugula dan ‘ice plant’.

- Advertisement -

Individu di sebalik usaha ini ialah Benjamin Swan, Ketua Pegawai Eksekutif Sustenir Agriculture yang juga pengasas bersama syarikat, yang melihat peningkatan permintaan terhadap makanan berkhasiat serta selamat dalam kalangan rakyat Malaysia susulan penularan pandemik COVID-19, dengan pengguna kini memilih produk yang kaya nutrien dan boleh meningkatkan imuniti serta kesihatan, selain sedap. 

Swan yang berhijrah ke Singapura dari Australia kira-kira 12 tahun lepas, berkata beliau mendapat ilham untuk menubuhkan Sustenir Agriculture selepas menyedari negara di Rantau Asia Tenggara mengimport 90 peratus hasil segar mereka dari negara lain.

Syarikat itu memulakan operasi fasilitinya di Kajang pada April lepas dan kini mengeluarkan serta menjual kubis kerinting Toscano dan Kinky kepada pengguna tempatan.

“Hasil kami dituai secara harian dan dibekalkan terus kepada pelanggan, sekali gus memastikan kesegaran sayuran daun hijau kami. Kami juga merupakan peruncit sayuran segar zero-mile yang pertama di Malaysia,” katanya.

(Istilah zero-mile merujuk kepada sistem pengedaran makanan yang lebih lestari berbanding sistem lain) 

Pertanian menegak dalam bangunan

Swan berkata Sustenir Agriculture menumpukan pada pembangunan masa depan yang berdaya tahan dengan mengurangkan secara signifikan pelepasan karbon dan pembaziran makanan akibat pengimportan bahan makanan basah yang cepat rosak.

Syarikat itu menjalankan pertanian menegak di dalam bangunan dan menanam sayur-sayuran menggunakan teknologi pertanian persekitaran terkawal (CEA) yang membolehkannya memantau dan mengawal setiap aspek pertanian dan mewujudkan persekitaran yang optimum bagi tanaman hidup subur tanpa tanah, racun makhluk perosak atau lain-lain toksin persekitaran.

Pertanian menegak di dalam bangunan kurang menggunakan air, iaitu hanya lima peratus daripada penggunaan air dalam pertanian konvensional, manakala pengeluaran pula diunjurkan 178 kali lebih banyak berbanding ladang tradisional. 

“Peluang dalam pertanian jenis ini sentiasa ada. Kita boleh menanam hampir apa sahaja jenis tanaman yang biasanya tidak akan dapat tumbuh di luar dalam cuaca tropika.

“Persekitaran pertanian CEA juga membolehkan kami mengeluarkan tanaman bebas racun dan selamat yang memenuhi pelbagai piawaian makanan ISO 22000,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai masa depan pertanian menegak di dalam bangunan di Malaysia, Swan berkata pertanian jenis itu merupakan industri yang masih baharu, namun sedang pesat berkembang.

Beliau turut berkongsi harapannya untuk melihat peluang lebih besar diberikan terhadap pembangunan pertanian jenis itu.

“Teknologi kami menggunakan sistem ‘plug-and-play’, yang membolehkan kami mewujudkan kebun di dalam ruang pejabat dengan cepat,” katanya.

Peluang pekerjaan 

Swan berkata selain membantu membekalkan produk makanan unggul kepada pelanggan tempatan, Sustenir Agriculture juga berharap dapat menyediakan peluang pekerjaan dalam industri teknologi pertanian kepada komuniti setempat di Malaysia.

“Kira-kira 98 peratus daripada pasukan kami di Malaysia adalah rakyat tempatan. Kebanyakan mereka mempunyai latar belakang dalam sains tumbuhan dan pertanian di kawasan terbuka, dan kami sedang mendidik mereka untuk menjadi generasi petani dalam bangunan berteknologi tinggi yang seterusnya,” katanya, menambah beliau juga merancang untuk mengembangkan konsep itu ke negeri-negeri lain di Malaysia.

Sementara itu, Dr Ahmad Esa Abdul Rahman, pensyarah kanan di Jabatan Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Puncak Alam, berkata pengeluar makanan seperti Sustenir Agriculture perlu menumpukan pada penanaman produk makanan untuk khalayak ramai, kerana memastikan masyarakat mendapat akses kepada hasil segar tempatan adalah lebih penting dalam konteks jaminan makanan.

“Apabila kita bercakap tentang jaminan makanan, tumpuan harus diberikan terhadap makanan yang lazimnya dimakan oleh penduduk setempat, yang lebih murah dan mudah diperoleh,” katanya.

Ahmad Esa berkata sememangnya makanan unggul mempunyai faedah nutrien tambahan, namun produk itu perlu mempunyai tanda harga yang lebih adil bagi memastikan semua lapisan masyarakat di Malaysia dapat menikmatinya. 

Tambah beliau, pengeluar makanan juga harus menumpukan pada usaha menanam dan mempromosikan sayur-sayuran tempatan yang berpotensi dikomersialkan sebagai makanan unggul.

“Dalam konteks Malaysia, kita ada banyak (sayur-sayuran) yang boleh diteroka dan dipopularkan. Syarikat seperti Sustenir Agriculture perlu bekerjasama dengan agensi seperti MARDI dan universiti tempatan bagi mempromosikan sayur-sayuran tempatan yang berpotensi tinggi, bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga eksport,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -