Oleh AIN MANAF | Foto ZULKIFLI HUSSIN
BACHOK: Seramai 43 penternak akuakultur di seluruh Kelantan menerima inisiatif Bajet 2021 Dana Jaminan Makanan (DJM) melalui Program Pengembangan Akuakultur dengan jumlah peruntukan sebanyak RM800,000 tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, dengan adanya inisiatif berkenaan ia dapat meringankan bebanan kos yang ditanggung penternak bagi mengembangkan aktiviti akuakultur.
Selain itu katanya dapat meningkatkan sumbangan kepada pengeluaran ikan negara terutama oleh pengusaha kecil.
Kata beliau, kerajaan sentiasa memberi dorongan dan bantuan kepada rakyat yang menceburi pelbagai bidang seperti akualkutur, pertanian dan perikanan.
“Ini untuk memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi selain mahu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import.
“Di Kelantan terdapat 11 penternak aktif yang mengusahakan hatchery atau asuhan ikan air payau dari spesis kerapu, hibyrid, dan siakap. Manakala 27 penternak lagi aktif dalam komoditi ikan air tawar iaitu dari spesis keli, patin, tilapia, baung, serta puyu,” katanya di sini semalam.
Sebelum itu beliau melawat tapak asuhan ikan SB Aqua Marine & Construction Sdn Bhd di Kampung Tok Kederat, Pulau Kambing.
Dr Nik Zawawi juga berkata, dianggar sebanyak 8.5 juta benih ikan dihasilkan dalam tempoh 10 tahun oleh Pusat Pengembangan Akuakultur yang berfungsi sebagai pusat pembenihan dan asuhan ikan.
Pusat pembenihan itu milik Jabatan Perikanan itu terletak di Machang yang dimanfaatkan ramai penternak kecil bagi mendapatkan bekalan ikan untuk memulakan penternakan.
Menurutnya juga kerajaan mengenal pasti akuakultur sebagai salah satu sumber utama untuk meningkatkan pengeluaran ikan bagi memenuhi permintaan domestik dan mengembangkan potensi eksport.
“Langkah itu memandangkan sumber perikanan melalui kaedah tangkapan sudah mencapai tahap penerokaan yang maksimum dan eksploitasi berlebihan.
“Kerajaan sentiasa memberikan bantuan sebagai sokongan untuk membangunkan industri akuakultur dengan meningkatkan promosi pemasaran melalui pelbagai sumber,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/10/2021