Nasib anak yatim akibat Covid-19 dibela – Siti Zailah

Foto daripada Facebook Siti Zailah Mohd Yusoff.

KUALA KRAI: Sebanyak 4,696 orang anak yatim atau yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dikenal pasti di seluruh negara setakat September lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Advertisement

Beliau berkata kementerian telah mengambil inisiatif dan langkah-langkah bagi memastikan nasib mereka terbela dan termasuk tidak tercicir dari segi pendidikan.

Katanya, pihak kementerian memberi peluang kepada waris dan keluarga terdekat anak yatim terlibat untuk menjaga mereka.

“Namun sekiranya tidak ada waris yang boleh menjaga  mereka, kementerian ada 36 institusi kanak-kanak dan daripada jumlah tersebut tujuh kita khaskan kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa serta tiada waris,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Tinjauan dan Pemantauan Mengenai Penyampaian Perkhidmatan Kebajikan di Dabong, di sini hari ini. – BERNAMA