Pengoperasian di PPV sesuai jadi panduan PRN Melaka

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

- Advertisement -

MASJID TANAH: Operasi perjalanan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sesuai dijadikan contoh untuk perjalanan proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), sekiranya berlaku.

Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka, Aziah Mohd Saad, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menambah saluran pengundian di tempat mengundi untuk mengurangkan kepadatan orang ramai di pusat mengundi.

Dalam masa sama, memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi pengundi, seperti pemakaian pelitup muka, daftar masuk melalui MySejahtera dan sebagainya.

“Mereka yang hadir untuk mengundi perlu memenuhi syarat lengkap dua dos vaksin, selain prosedur pengambilan suhu dan penggunaan sanitizer seperti yang sepatutnya dilakukan sekarang.

“Manakala kempen menggunakan media sosial pula boleh diamalkan oleh parti yang bertanding, dan orang luar yang ingin membantu kempen dikawalkan pergerakan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aziah turut mencadangkan supaya SPR menetapkan peraturan hanya pengundi tempatan yang dibenarkan terlibat dalam kempen.

Katanya, walaupun Melaka telah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun pihaknya masih bimbang jika berlakunya penularan tidak terkawal.

Situasi itu kata Aziah, perlu cuba dielakkan sebaik mungkin dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Petugas PAS akan sentiasa mematuhi peraturan SOP dari semasa ke semasa seperti mana kami mematuhi SOP semasa musim mesyuarat agung dan muktamar yang sedang berlangsung sekarang.

“Kami menjalankan mesyuarat agung (PAS) secara hibrid dan hanya bersemuka dengan pematuhan SOP yang ketat,” katanya.

Katanya lagi, PAS Melaka menjangkakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SPR akan mengeluarkan arahan pengundian dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 10/10/2021

- Advertisement -