Malaysia pertingkatkan Dasar 4IR Negara

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH pagi ini YB Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkesempatan bertemu mata dengan Ketua Setiausaha (KSU) MOSTI yang baharu, Dato’ Zainal Abidin Bin Abu Hassan yang telah dilantik bagi menggantikan KSU sebelum ini, YBhg. Dato’ Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir berkuatkuasa pada hari Rabu, 6 Oktober 2021.

Pertemuan pagi ini berjalan dengan penuh ramah mesra dan harmoni, diselangi dengan perkongsian pengalaman keduanya di bidang kerjaya masing-masing sebelum ini. YB Dato’ Ahmad Amzad memaklumkan kepada KSU bahawa, beliau amat komited bagi menaikkan MOSTI sebagai platform kepada Bumiputera dalam memacu inovasi sektor-sektor berkait ekonomi.

- Advertisement -

Ekonomi sentuhan rendah, teknologi tinggi (Low touch high income economy) membawa rakyat Malaysia Maju ke hadapan. Hal ini disebabkan perkembangan teknologi pada hari ini semakin bertambah meluas ekoran pandemik COVID-19 yang melanda.

Sebagai contoh, penggunaan aplikasi dalam urusan jual beli barang dan makanan semakin mendapat sambutan sekarang ini kerana kos yang diperlukan untuk memulakan perniagaan adalah rendah dan mampu menjana pendapatan yang lumayan. Syarikat-syarikat gergasi seperti Amazon dan Alibaba mampu menjana pendapatan yang sangat lumayan yang berjumlah berbilion ringgit sehari menggunakan platform perniagaan secara atas talian.

Aplikasi seperti Shopee, Lazada, Food Panda, Grab Food dan lain-lain kesemuanya menawarkan platformperniagaan secara atas talian dan tidak memerlukan kedai fizikal. Hal ini menyebabkan ramai peniaga beralih ke arah perniagaan ‘online’. 

Seiring dengan meningkatnya penggunaan aplikasi perniagaan maya ini, tidak ketinggalan penggunaan sistem e-Wallet juga turut sama meningkat. Maka tidak hairan sekarang ini banyak syarikat-syarikat Fintech berlumba untuk melahirkan sistem e-Wallet mereka sendiri. Sebagai contoh Billplz,GHL, Imaginary Pay dan banyak lagi sedang berlumba-lumba untuk menaikkan jenama masing-masing.

Pada Julai yang lalu, kerajaan telah melancarkan Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) Negara bagi mempertingkatkan keupayaan Malaysia, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing. Dasar 4IR Negara digubal menggunakan pendekatan berpaksikan kemanusiaan supaya rakyat memanfaatkan teknologi, selain mengekalkan nilai kemanusiaan, sosial dan warisan budaya selaras matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Dasar 4IR Negara melengkapi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 yang membawa agenda pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi yang disepadukan dengan pengukuhan ekonomi bawah konsep Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE). MOSTI sedang membangunkan beberapa dasar dan pelan hala tuju bagi memastikan transformasi 4IR meliputi semua aspek kehidupan serta industri.

Negara kita memiliki ramai pakar-pakar yang mahir dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Seharusnya kita memanfaatkan kepakaran tempatan yang ada bagi memberi peluang kepada mereka berbakti untuk negara. Semoga komitmen dari semua pihak di dalam Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta kerjasama Kerajaan Persekutuan, bidang sains dan teknologi di Malaysia mampu bersaing dengan kuasa-kuasa besar lain agar Malaysia dapat berdiri sama tinggi di puncak dunia.

Tahniah diucapkan kepada Dato’ Zainal Abidin Bin Abu Hassan di atas pelantikan sebagai Ketua Setiausaha MOSTI yang baharu. Semoga dapat berkhidmat dengan cemerlang. – HARAKAHDAILY 8/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/402490411229783/posts/408341643977993

- Advertisement -