Bila akan tercapai sasaran 30 peratus pegangan ekuiti Bumiputera?

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), memaklumkan Dewan Rakyat bahawa jaringan keselamatan baharu akan diperkenalkan untuk memastikan kelangsungan pemilikan ekuiti Melayu-Bumiputera.

Menurut Ismail Sabri, sehingga 2019 pegangan ekuiti Melayu-Bumiputera hanyalah sekitar 17.2 peratus. Polisi ini adalah untuk membolehkan penjualan saham atau syarikat Melayu-Bumiputera hanya ditawarkan kepada konsortium, syarikat atau individu Melayu-Bumiputera lain.

- Advertisement -

Semenjak wujudnya Dasar Ekonomi Baharu (DEB), polisi-polisi yang melindungi hak dan kepentingan Melayu-Bumiputera ini memang sudah ada.

Namun sehingga berakhirnya DEB pada 1990, malah sehingga ke hari ini, matlamat untuk mencapai 30 peratus penguasaan ekuiti oleh Melayu-Bumiputera tidak pernah dapat digapai.

Mengikut data Lee Hwok Aun (2021), pegangan ekuiti Bumiputera berada pada tahap 2.4 peratus berbanding 34.3 peratus non-Bumi sementara pegangan ekuiti asing pula ialah 63.4 peratus pada tahun 1970 iaitu tahun bermulanya DEB.

Mengikut data tersebut sehingga tahun 2015 pegangan ekuiti Melayu-Bumiputera tidak pernah sekali pun melebihi pegangan ekuiti non-Bumiputera. Ia mencapai tahap tertinggi 23.4 peratus pada tahun 2011. Dan ia hanya melepasi kadar 20 peratus antara tahun 2008 hingga 2011, selain itu ia berada pada tahap di bawah 20 peratus.

Tidakkah kita berasa bahawa perlunya untuk kita meneliti semula mengapa sasaran ekuiti untuk Melayu-Bumiputera ini masih belum dapat dicapai? Maksud penulis meneliti semula secara serius, bukan secara sambil lewa tentang kegagalan ini.

Ia menjadi satu tandatanya besar. Dengan orang Melayu-Bumiputera sebagai majoriti 60 peratus; dengan Perdana Menteri Malaysia adalah orang Melayu semenjak merdeka; dengan pelbagai polisi dibuat kerajaan untuk melindungi hak Melayu-Bumiputera;

Dengan kerajaan dikuasai oleh Ahli Parlimen Melayu semenjak merdeka (kecuali semasa pemerintahan Pakatan Harapan-PH); dengan majoriti penjawat awam yang melaksanakan dasar ini adalah orang Melayu-Bumiputera; dan di tahun 2021 ini kita masih bercakap tentang lemahnya penguasaan ekonomi orang Melayu-Bumiputera?

Ironinya, bangsa bukan Melayu seperti bangsa Cina yang tidak dilindungi hak mereka melalui program kerajaan semakin lama semakin mantap pula penguasaan ekonomi mereka. Di mana silapnya? Ini yang perlu dikaji secara holistik dan serius.

Analoginya, umpama kita menanam padi, kemudian kita proses jadi beras, kita masak dalam periuk nasi. Tetapi bila sudah masak ia jadi pizza, tidak jadi nasi. Pelik bukan?

Sepanjang pengetahuan penulis, di Singapura tidak ada polisi seperti DEB untuk melindungi ekonomi bangsa Cina walau pun mereka berkuasa dan mereka majoriti. Mereka berbangga dengan prinsip meritokrasi iaitu setiap orang dinilai berdasarkan kemampuan sebenar dan bukan berdasarkan bangsa.

Mereka boleh buat begitu kerana memang bangsa Cina di Singapura secara alami sudah pun menguasai aktiviti ekonomi sejak sebelum merdeka lagi. Ini dikukuhkan lagi dengan status mereka sebagai penduduk majoriti dan menguasai kerajaan.

Apa yang penulis cuba sampaikan ialah, sebenarnya jika Melayu-Bumiputera sudah kuat dari segi ekonomi kita tidak perlu lagi untuk bercakap soal polisi untuk melindungi orang Melayu ini. Kita perlu sampai ke arah itu.

Apa yang penting ialah sebarang dasar untuk melindungi hak Melayu-Bumiputera ini harus telus dan tulus dalam pelaksanaannya dan benar-benar memberi faedah kepada golongan ini.

Cakap-cakap di luar sana bahawa selama ini faedah-faedah daripada polisi ini hanya berlegar pada kumpulan tertentu sahaja, harus diberi perhatian. Sesuatu polisi untuk membantu untuk membantu Melayu-Bumiputera harus meliputi kesemua golongan ini tanpa mengira parti politik yang disokong.

Polisi ini akan gagal sekiranya ia hanya menjadi umpan politik oleh parti yang memerintah semata-mata. Akhirnya akan wujud pula ketidakseimbangan penguasaan ekuiti dalam kalangan Melayu-Bumiputera itu sendiri.

Kerajaan perlu membuat polisi melindungi hak Melayu-Bumiputera dan meningkatkan sosioekonomi mereka dengan jalan dan kaedah yang belum pernah digunakan sebelum ini. Perlu ada agenda yang lebih besar daripada DEB. Ia perlu mencapai sasaran dengan lebih pantas dan agresif.

Takkanlah sehingga tahun 2050 kita masih berseminar untuk mencari jalan mengatasi masalah penguasaan ekonomi dan merangka polisi untuk melindungi ekuiti Melayu-Bumiputera? – HARAKAHDAILY 8/10/2021

- Advertisement -