Wanita muda perlu diberi peluang memimpin

- Advertisement -

Oleh SUZIELA SALLEH

SUBANG:
Wanita muda perlu diberi peluang untuk menerajui kepimpinan negara, kata Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Zuraida Md Noor.

Menurutnya, masyarakat perlu berfikir untuk negara, bukan hanya dalam konteks kepentingan parti politik masing-masing sahaja, apa lagi dengan keadaan rakyat terbeban rentetan pandemik Covid-19.

“Negara kita ke arah 18 tahun mengundi, jadi perlu ada kesedaran pendidikan politik untuk memberi kefahaman dan membersihkan pandangan anak muda daripada sentimen politik kotor dan fitnah,” katanya.

- Advertisement -

Tambahnya, anak muda akan menentukan landskap politik negara yang menampilkan pemimpin berkredibiliti.

“Pemimpin-pemimpin wanita juga perlu ada kesatuan untuk mengangkat isu wanita dan kerap turun padang bagi menampilkan wakil rakyat yang mesra rakyat,” ujarnya.

Katanya, dalam PAS bukan setakat hanya memberi bantuan dari segi kebajikan tetapi ingin membawa manusia untuk taat kepada Allah, melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara kemungkaran.

“Negara memerlukan pemimpin yang berani, lantang memperjuangkan prinsip untuk menjaga kepentingan rakyat. Wanita perlu diberi peluang terlibat dalam penggubal dasar mengenai isu wanita,” ujarnya lagi

“Saya turut terlibat secara  langsung penggubal dasar Terengganu untuk memartabatkan wanita dan menjaga hak Wanita,” ujarnya dalam rancangan ‘Apa Kata Wanita Muda?’ (AKWAM) dalam slot bertajuk ‘Orang Muda dan Demokrasi’ bersama pemimpin wanita muda Perikatan Nasional, semalam.

Sementara itu, Ketua Wanita Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Janice Wong Oi Foon berkata, momokan anak muda masih kurang berpengalaman untuk memimpin perlu ditangkis.

“Anak muda perlu merai kepercayaan rakyat dengan mempunyai pendirian konsisten, tidak bersikap sombong, bukan boneka dan tidak diperalatkan untuk sesuatu agenda tertentu parti politik,” jelasnya.

Menurut Ketua Biro Srikandi Muda Bersatu, Datin Ema Syuhaili pula, anak muda lebih serasi dengan media sosial dan ini peluang untuk menzahirkan idea dan pandangan menjurus kepada pemerkasaan demokrasi.

“Media sosial tidak dapat dikawal kepesatan kuasa tularnya maka pemimpin perlu responsif dalam menjawab sesuatu isu,” ujarnya.

Slot AKWAM sempena Sedekad Ameerah dalam Facebook rasminya turut mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan sehingga ramai wanita muda teruja menonton dengan dibanjiri 2,000 komen sehingga mencapai melebihi 6.3K penonton. – HARAKAHDAILY 2/10/2021

- Advertisement -