Kelantan mahu penggiat pelancongan segera lengkap dos vaksin

- Advertisement -

KUALA KRAI: Kerajaan Kelantan mahu penggiat industri pelancongan di negeri itu segera melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 sebagai persediaan menerima kunjungan pelawat pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata berdasarkan maklumat diterima, setakat ini 60 hingga 70 peratus penggiat industri pelancongan di negeri itu telah melengkapkan dua dos suntikan.

- Advertisement -

“Kita sekarang ini dalam fasa kedua dan berharap memasuki fasa ketiga, oleh itu kita mahU penggiat pelancongan segera mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk menerima pelancong.

“Setakat ini kita tidak menerima maklumat secara langsung penggiat industri pelancongan menolak vaksin, sekiranya ada, kita nasihat dan memujuk mereka untuk berfikir secara mendalam mengenai kepentingan mendapatkan vaksin,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Semarak Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan di Zoo Kuala Krai di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Md Anizam berkata pihaknya berharap negeri itu segera beralih ke fasa ketiga untuk membolehkan industri pelancongan dibuka sekali gus merancakkan kembali sektor tersebut.

“Pembukaan ini akan memberikan impak kepada industri pelancongan kerana sudah hampir dua tahun dilihat suram, kita berharap beralih ke fasa ketiga bagi memulihkan industri pelancongan walaupun tidak secara perubahan drastik.

“Sekiranya industri pelancongan dibuka secara penuh, pada peringkat awal kita sasarkan sejuta atau dua juta pelancong setahun memasuki negeri ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -