Rumah penduduk 2 kali ditenggelam banjir

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING:
Banjir yang melanda beberapa kampung di Dun Kuala Ketil pada Rabu lalu dikira paling teruk jika dibandingkan kejadian sebelum ini.

Adun Kuala Ketil, Mansor Zakaria berkata, banjir kali datang dengan pantas sehingga penduduk terlibat tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing.

- Advertisement -

“Banjir kilat kali ini agak teruk. Berlaku limpahan air yang banyak. Di Parit Panjang terdapat rumah yang tenggelam dan kedai runtuh,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Katanya lagi antara yang terlibat termasuklah Kampung Banggol Berangan, Charok Bakam, Tembak Ulu, Guar Tinggi tinggi, Kuala Menora, Kuala Kuli dan Kampung Tembak B.

Manakala penduduk terlibat dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Sekolah Menengah Parit Panjang (tujuh keluarga), Sekolah Kebangsaan Tembak A (10 keluarga), Sekolah Ke Mat Arif (10 keluarga) dan Sk Jemerli (lima keluarga).

Menurutnya, kawasan sekitar Dun Kuala Ketil antara yang paling terkesan berbanding Dun Bayu dan Dun Kupang.

Hal itu, ujarnya disebabkan Kuala Ketil berada di muka muara iaitu pertembungan antara Sungai Baling dan Sungai Jeniang, oleh itu limpahan air menjadi banyak dan lambat surut.

“Walaupun tiada berlaku kemalangan jiwa tetapi banyak harta benda yang rosak kerana tidak sempat selamatkan,” katanya lagi.

Jelas Mansor, banjir yang melanda pada malam Selasa (28 September) surut pada keesokan harinya dan mereka yang terkesan sudah mula mencuci kediaman masing-masing.

Namun, katanya pada sebelah petang (Rabu 29 September) berlaku banjir kali kedua yang menyebabkan banyak rumah yang dimasuki dan ditenggelami air.

“Pada malam bermula kejadian, mangsa-mangsa banjir dibantu penduduk kampung sahaja tetapi apabila berlaku kali kedua, terpaksalah menggunakan khidmat pihak berkuasa seperti polis dan bomba untuk memindahkan mangsa kejadian,” tambah beliau.

Sementara, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Kuala Ketil mula beroperasi sebagai pusat bencana hari ini sebagai tempat pengumpulan bantuan dan sukarelawan.

“Hari ini juga operasi mencuci akan dimulakan oleh sukarelawan sebab pagi ini difahamkan mangsa banjir di PPS ada yang dah balik ke rumah masing-masing,” ujar Mansor lagi. – HARAKAHDAILY 1/10/2021

- Advertisement -