‘Sayangi Jantung dan Terus Berhubung’

Sempena Hari Jantung Sedunia 2021

- Advertisement -

SAMBUTAN Hari Jantung Sedunia pada tahun ini disambut dengan tema ‘Sayangi Jantung dan Terus Berhubung’ (Use Heart to Connect), yang memfokuskan penggunaan teknologi digital dalam meningkatkan akses kepada kesedaran penyakit jantung dan risikonya di seluruh dunia. Pendekatan melalui teknologi digital ini berpotensi memangkin penyebaran ilmu pengetahuan kesihatan agar masyarakat dapat memantau kesihatan jantung dan memahami risiko-risiko penyakit jantung. Ini dapat meningkatkan liputan kesedaran kesihatan jantung kepada komuniti dan orang tersayang demi kesihatan yang lebih baik.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada 18.6 juta kematian akibat penyakit jantung di seluruh dunia direkodkan pada tahun 2019. Ia juga merupakan penyebab utama kematian di Malaysia, menyumbang sebanyak 15.0 peratus daripada 109,164 kematian yang disahkan secara perubatan pada 2019. Perangkaan ini dijangka lebih meruncing terutamanya tatkala seluruh dunia sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang menyebabkan akses kepada informasi dan rawatan penyakit jantung serta penyakit tidak berjangkit yang lain menjadi lebih sukar.

- Advertisement -

Oleh yang demikian, penggunaan teknologi digital sedia ada secara optima akan membantu kita untuk bukan sahaja berhubung di antara satu sama lain di mana sahaja kita berada, malah ia dapat memastikan semua lapisan masyarakat di seluruh negara mendapat akses kepada informasi pencegahan dan rawatan penyakit jantung yang diperlukan. Melalui teknologi dan aplikasi kesihatan digital, agensi lain seperti badan-badan berkanun, NGO, pihak akademik dan lain-lain dapat memainkan peranan masing-masing dalam memberi sokongan yang diperlukan kepada pesakit jantung dan ahli keluarga mereka.

Sempena Hari Jantung Sedunia 2021 ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menekankan tiga mesej utama iaitu;

1. Pastikan sihat.

Pelihara jantung anda dengan mengamalkan pemakanan sihat, tidak merokok dan tidak mengambil alkohol. Kekalkan gaya hidup yang aktif serta kurangkan tekanan. Bagi meningkatkan motivasi diri, optimumkan penggunaan aplikasi kesihatan digital bagi membantu anda berada pada landasan yang betul. Ini merupakan langkah pemerkasaan diri (self empowerment) yang penting agar anda kekal dapat memacu kehidupan anda dengan baik.

2. Gunakan teknologi untuk mendapatkan informasi sahih.

Teknologi kesihatan digital boleh membantu anda untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan dengan cepat dan tepat. Walau bagaimanapun, pastikan maklumat kesihatan adalah daripada saluran yang sahih dan boleh dipercayai.

3. Dapatkan bantuan.

Jangan biarkan COVID-19 menghalang anda untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan termasuklah saringan kesihatan dan rawatan bagi mengawal penyakit anda seperti penyakit jantung, diabetes dan hipertensi. Rangkaian digital berperanan penting untuk menghubungkan pesakit dengan keluarga, rakan, pesakit lain, doktor dan lain-lain. Gunakan teknologi digital supaya anda tidak bersendirian semasa pandemik ini. Bantuan hanya di hujung jari sahaja, bila-bila dan di mana sahaja anda berada.

Kesihatan adalah milik dan tanggungjawab kita. Oleh yang demikian, adalah penting agar saringan kesihatan dilakukan secara berkala dengan memeriksa status BMI, tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol dalam darah untuk mengesan penyakit pada peringkat awal dan seterusnya mengelakkan komplikasi seperti penyakit jantung.

Lantaran itu juga, masyarakat digalakkan untuk manfaatkan program-program Kerajaan seperti, Komuniti Sihat, Pembina Negara (KOSPEN), program saringan kesihatan PERKESO, klinik dengan perkhidmatan PeKa B40 dan klinik swasta untuk saringan dan intervensi faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dilaksanakan secara meluas di seluruh negara.

Umum diketahui, pesakit penyakit jantung adalah berisiko lebih tinggi mendapat komplikasi yang serius sekiranya dijangkiti COVID-19. Selain daripada melengkapkan vaksinasi COVID-19 serta mengamalkan SOP dan norma baharu, pesakit perlu kekal sihat bagi meningkatkan daya ketahanan diri daripada penyakit COVID-19 dan komplikasinya. Justeru, KKM menyeru semua pihak untuk mengamalkan gaya hidup sihat dalam persediaan kita untuk menghadapi fasa endemik COVID-19. Sayangilah jantung anda dan optimumkan teknologi digital untuk terus berhubung.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SRI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia – HARAKAHDAILY 29/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044314485023/posts/414868190000327/

- Advertisement -