DPPNS bantah kelulusan 22 kali cabutan khas judi 2021

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) membantah sekeras-kerasnya keputusan Kementerian Kewangan meluluskan Agensi Nombor Ramalan (NFO) untuk cabutan khas (special draw) sebanyak 22 kali bagi tahun ini.

Menurut Timbalan Ketua DPPNS, Mohamed Sukri Omar, jumlah cabutan khas judi bukanlah solusi bagi permasalahan ekonomi. 

- Advertisement -

Katanya, dalam usaha menggalakkan perkembangan ekonomi rakyat, fokus bantuan adalah lebih baik diberikan kepada perniagaan kecil dan sederhana (SME).

Merujuk jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa kerajaan telah memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas NFO kepada 22 kali sepanjang tahun ini berbanding hanya lapan kali sahaja pada 2020.

“Berapa ramaikah jumlah mereka yang bertambah miskin dan melarat akibat judi berbanding kaya dengan judi?” soal Mohamed Sukri.

Beliau menegaskan, judi bukan solusi bagi masalah ekonomi tetapi menjadi punca rakyat semakin tertekan. 

“Malah, judi turut menjadi punca keganasan dan keruntuhan sesebuah rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengesa Tengku Zafrul untuk menarik kembali keputusan tersebut. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -