Tidur beralas plastik, atap rumah diterbang ribut

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Hujan lebat yang turut disusuli ribut petang semalam menyebabkan sebuah rumah di Kampung Kijang rosak terutamanya di bahagian bumbung.

Akibat kejadian itu, keluarga berkenaan terpaksa tidur beralaskan plastik bagi mengelak pakaian mereka basah akibat terkena air hujan setelah bumbung rumah mereka rosak pada kejadian itu.

- Advertisement -

Nurul Irdani Azmi, 36, berkata ketika itu dia tiada di rumah kerana bekerja di Kota Bharu.

Katanya, beliau bergegas pulang selepas menerima panggilan telefon daripada anak sulungnya, Nur Aqilah Khairunisa, 13.

“Aqilah cedera pada belakang badan, manakala anak bongsunya pula bengkak di kepala,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kijang dekat sini semalam.

Terdahulu, NGO Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa, yang diketuai pengerusinya Datin Seri Nor Azizah Sulaiman menghulurkan sumbangan. Turut hadir Penghulu Mukim Kijang, Wan Ibrahim Muhammad.

Nurul Irdani juga berkata, ketika kejadian, suaminya Mohd Shafien Nordin, 37, sedang membaiki motosikal pelanggan di hadapan rumah mereka, terkejut apabila mendengar tangisan dua beradik di dalam rumah.

“Suami terus berlari masuk mendapatkan anak-anak sambil menenangkan mereka yang sedang menangis.

“Ketika itu dia melihat serpihan atap bata jatuh bertaburan berhampiran dua anak kami, manakala seorang lagi anak, Nur Aina Batrisya, 12, tidak cedera,” katanya.

Nur Irdani berkata, mereka lima beranak terpaksa tidur beralaskan plastik di ruang tamu selain berbumbungkan langit akibat sebahagian atap bata runtuh diterbangkan ribut.

Menurutnya juga, mereka tidak mampu membaik pulih rumah yang diwarisi keluarganya yang berusia lebih 60 tahun.

Katanya, dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala suami bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan sekadar cukup makan. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -