Era PH jaja hutang RM1 trilion, era PN rakyat dibantu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang menolak dakwaan pembangkang kononnya ahli parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengkhianat sehingga kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Febuari 2020.

Dato’ Syed Abu Hussin berkata, kejatuhan kerajaan PH sebenarnya berlaku selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri.

- Advertisement -

Kata beliau sekiranya Ahli Parlimen Langkawi tidak meletak jawatan, kerajaan PH kemungkinan besar masih lagi bertahan sehingga sekarang.

Menurutnya krisis yang berlaku dalam kalangan PH mengundang kejatuhan kerajaan PH selepas berkuasa selama 22 bulan.

“Krisis yang berlaku itu berakhir selepas ahli parlimen Pagoh dilantik sebagai perdana menteri dan kerajaan berdepan pula dengan penularan wabak Covid-19 sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

“Perdana Menteri ketika itu sanggup memperuntukkan kira-kira RM380 bilion bagi membantu rakyat,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Parlimen petang ini.

Kerajaan PN melaksanakan lapan pakej ekonomi dan rangsangan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19 sejak Mac 2020 yang bermula dengan Pakej Prihatin.

Manakala tahun ini pula kerajaan PN mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pula berjumlah RM150 bilion, merupakan kesinambungan daripada tujuh program bantuan dan pakej rangsangan.

Syed Abu juga berkata, kerajaan PN sanggup mengeluarkan dana yang besar bagi membantu rakyat, sedangkan ketika era kerajaan PH mereka mendakwa hutang negara lebih RM1 trilion.

“Kerajaan PH ketika itu sering mendakwa kerajaan tidak ada duit,” katanya.

Pada akhir Mei 2018 Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng mendakwa hutang negara mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sehingga 31 Disember 2017.

Menurutnya, daripada jumlah itu, RM686.8 bilion merupakan hutang kerajaan persekutuan bersamaan 50.8 peratus KDNK.

Ahli parlimen Bukit Gantang turut berharap kerajaan di bawah Dato’ Seri Ismail Sabri dapat mengekalkan kestabilan politik di negara ini. – HARAKAHDAILY 21/9/2021

- Advertisement -