Talian bantuan psikososial wajar diteruskan

- Advertisement -

SAYA mengucapkan terima kasih kepada YB Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Aaron Aro Dagang yang memberi jawapan secara terperinci kepada soalan saya di Parlimen pada 15 September 2021 berkenaan keberkesanan talian bantuan psikososial yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada rakyat Malaysia yang mempunyai gangguan emosi dan mental disebabkan pandemik COVID-19 semenjak 25 Mac 2021.

Amat mengejutkan apabila YB Timbalan Menteri memaklumkan bahawa terdapat sebanyak 210,930 panggilan telah diterima oleh KKM melalui talian bantuan psikososial ini oleh rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan kaunseling dari bulan Mac 2020 sehingga September 2021. Peningkatan mendadak turut direkodkan apabila dicatatkan sehingga September tahun ini, terdapat sebanyak 166,869 panggilan dibuat berbanding hanya sebanyak 44,061 pada tahun 2020.

- Advertisement -

956 kes panggilan atau sebanyak 0.4 peratus dari jumlah panggilan telah dirujuk kepada pakar psikiatri atau pihak berwajib kerana pemanggil-pemanggil didapati mempunyai masalah gangguan emosi dan mental yang memerlukan rawatan segera. Dalam pada itu, Parlimen juga dimaklumkan bahawa KKM akan melancarkan Kempen Let’s talk Minda Sihat di bawah Program Agenda Nasional Malaysia Sihat pada bulan Oktober ini bagi menyemarakkan kesedaran berkenaan peri pentingnya kesihatan mental dan bagaimana menangani gangguan kesihatan mental.

Melihat situasi pandemik COVID-19 semasa, saya ingin menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap inisiatif dan kempen kesihatan mental yang telah dan akan dibuat oleh KKM kerana pandemik ini dijangka akan terus memberi kesan negatif kepada rakyat Malaysia dalam masa terdekat ini. Saya menyarankan pihak KKM menyediakan pelan strategik jangka masa panjang supaya tindakan yang menyeluruh dan komprehensif dapat direncanakan bagi menangani isu ini.

Saya juga ingin menyeru rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau agama mendapatkan segala bentuk bantuan psikososial yang tertera di media sosial KKM jika mempunyai masalah gangguan mental dan emosi bagi memastikan ia tidak melarat.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB TUAN WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 17/9/2021

- Advertisement -