Almarhum TG Pak Teh Mad berjasa dalam pendidikan Islam

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

RAKYAT
Kedah dikejutkan dengan kehilangan seorang tokoh ilmuan Islam yang tiada tandingannya ibarat umpama sebutir bintang yang begitu bernilai.

Tuan Guru Dato’ Ahmad Muhammad Noor atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Teh Mad, pergi mengadap Ilahi kira-kira jam 12.57 pagi 15 September lalu di Hospital Kuala Nerang, Padang Terap di sisi doktor yang merawatnya.

- Advertisement -

Kehilangannya bukan sahaja berita duka buat Kedah malah seluruh Malaysia terutama yang mengenalinya mahupun yang pernah menjadi anak didiknya.

Dilahirkan pada 1925 dan mendapat pendidik awal di Sekolah Melayu Padang Terap sehingga darjah empat.

Seterusnya Tuan Guru Ahmad menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Madrasah Sa’adah Ad-Daroin, Merbok, Bedong sehingga tahun 1937.

Beliau sempat belajar di Pondok Gajah Mati, Pendang selama tiga tahun sebelum meneruskan pengajian ke Madrasah al Salutiyah di Makkah.

Selepas 10 tahun di Makkah, anak kelahiran Kampung Tanjung, Padang Terap Kanan ini terus  membuka sebuah pondok di kawasan kelahiran pada 1986 yang kini dikenali dengan nama Madrasah Al-Ahmadiah Al-Solehiah Al Islamiah.

Tuan Guru Pak Teh Mad antara tokoh ulama solihin di Kedah yang menjadi pengasas Madrasah Ahmadiah yang ditubuhkan pada tahun 1961 yang terletak di Kampung Padang Nyiur, Kuala Nerang.

Beliau menghabiskan usianya dan berkhidmat di Pondok Ahmadiah atau turut terkenal dengan panggilan Pondok Pak Teh Mad, sehinggalah akhir hayatnya.

Antara tokoh ilmuan terbilang yang pernah menjadi gurunya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok, Tok Mogoi Pondok Mogoi, Tuan Guru Pak Chu Him Pondok Gajah Mati yang juga merupakan ayah mertuanya dan Pak Da Eil Mekah.

Allahyarham juga pernah menjadi anak murid kepada Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Muthalib Al Mandili, Sheikh Daud Kelantan, Syeikh Afnan Al-Jawi dan Syeikh Sulaiman Al-Jawi, termasuk juga Syeikh Zakaria Bila, Syeikh Hassan Masyath dan Sayyid Alawi al-Maliki.

Tuan Guru Pak Teh Mad meninggal pada usia 96 tahun setelah banyak menabur jasa di bidang pendidikan Islam.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama para nabi, siddiq, syuhada dan solihin. – HARAKAHDAILY 17/9/2021

- Advertisement -