NADMA agih RM500 setiap keluarga mangsa tragedi kepala air

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Mangsa banjir tragedi kepala air Gunung Jerai akan menerima bantuan daripada Agensi Bencana Negara (NADMA) selewat-lewatnya minggu hadapan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setiap keluarga yang terlibat akan menerima sumbangan sebanyak RM500, di mana pada peringkat awal kerajaan negeri akan menyalur sebanyak RM500,000 kepada mangsa yang terlibat.

“Sumbangan ini akan diatur dengan sebaik mungkin memandangkan urusan kewangan melibatkan prosedurnya agak rumit,” kata beliau ketika merasmikan majlis sumbangan mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai di Kampung Dusun Manggis, Titi Hayun, semalam.

- Advertisement -

Sungguhpun begitu katanya, Kedah sentiasa berusaha mencapai impian untuk menjadikan negeri itu tempat untuk orang miskin bernaung manakala golongan yang kaya menghulurkan pertolongan serta menabur bakti.

“Tuan-puan semua bukan miskin tetapi jadi miskin sebab bencana. Tetapi dapat meneruskan kehidupan kerana ramainya saudara-sudara datang membantu. Keadaan ini boleh diumpamakan orang kaya datang berbakti untuk rakyat yang tiba-tiba jatuh miskin,” ujarnya.

Tambahnya bencana 18 Ogos lalu menyebabkan banyak berlaku kerosakan dan penduduk yang dilanda musibah ditimpa trauma, namun dalam masa yang sama ramai yang datang menghulurkan sumbangan

Situasi begitulah katanya yang diinginkan, secara tidak langsung ‘Kedah sebagai tempat orang miskin berteduh dan orang kaya berbakti’ dapat direalisasikan.

“Kerajaan pun bukanlah kaya sangat tetapi atas keberkatan muafakat semua pihak, bencana ini dapat dihadapi dengan tenang,” tambah beliau.

Sanusi turut mengucapkan terima kasih di atas tindakan pantas Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob hadir ke Kedah pada hari pertama bertugas.

Pada lawatan itu perdana menteri melulus peruntukan RM75 juta termasuk RM50 juta daripadanya untuk membaik pulih infrastruktur. Selain itu Kementerian Pendidikan menyedia peruntukan sebanyak RM2.5 juta, Kementerian Pembangunan Luar Bandar RM3 juta, Kementerian Pertanian RM3 juta dan Menteri Agama Hal Ehwal Agama sebanyak RM560,000.

Menteri Besar juga berkata, kejadian kepala air tersebut tiada kaitan dengan pembalakan, sebaliknya fenomena limpahan taburan hujan lebat sehingga lapan jam di puncak gunung berkenaan.

“Bukan semua orang suka kita, ada yang tak suka, tuduh kita tebang balak, tebang hutan. Tetapi yang kata begitu semua orang luar. Tapi orang Yan sendiri tau, mana ada orang tebang balak,” kata beliau.

Sebaliknya jelas Sanusi, kenyataan Jabatan Meteorologi menjelaskan Gunung Jerai dilanda hujan ekstrem dalam tempoh lapan jam pada kadar 10 peratus taburan hujan setahun.

“Kita akan berusaha berikhtiar mengembalikan keadaan seperti biasa namun dalam masa yang sama semua penduduk jangan lupa menjaga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. Kekal berada di rumah, jaga penjarakan dan pakai pelitup muka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/9/2021

- Advertisement -