Mangsa tragedi Gunung Jerai terima bantuan fasa 4

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Seramai 113 mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai di sekitar Gurun menerima sumbangan fasa ke-4 yang disampaikan PAS Kedah di Dewan Cina, Gurun, semalam.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, sumbangan PAS Kedah itu sebagai tanda simpati kepada semua mangsa yang terlibat.

“Saya mewakili PAS Kedah merakamkan rasa dukacita dan simpati atas apa yang menimpa tuan puan semua, namun dalam masa yang sama kami berharap agar dapat bersabar dengan ujian Allah ini,” kata beliau pada program berkenaan semalam.

- Advertisement -

Menurutnya juga, penduduk yang ditimpa musibah tidak keseorangan sebaliknya dibantu rakyat Malaysia yang begitu prihatian terhadap kejadian tersebut.

PAS Kedah juga katanya tidak ketinggalan bersama-sama mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa yang terlibat meringankan bebanan yang ditanggung mereka.

“Kita benar-benar seperti satu Keluarga Malaysia dengan bantu membantu tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama. Tanpa mengira miskin atau pun kaya,” katanya.

Beliau yang juga Exco kerajaan negeri berkata, kerajaan juga berusaha membantu sedaya upaya sama ada melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dalam pelbagai aspek.

Malah sempena lawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini, sebanyak RM38 juta diluluskan untuk baik pulih pasarana yang rosak dan musnah akibat kejadian 18 Ogos lalu.

Kesempatan itu, Siti Ashah merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu sama ada sumbangan wang ringgit, kebendaan atau tenaga.

Tragedi trajis 18 Ogos lalu mengakibatkan kira-kira 1,500 premis kediaman, kedai, sekolah, masjid dan surau di daerah Yan dan Merbok rosak dan ditenggelami lumpur.

Rempuhan air itu juga mengakibatkan beberapa chalet dan kawasan rekreasi sekitar Titi Hayun musnah dan rosak serta mengorbankan enam mangsa.

Sempena program berkenaan Ashah bersama beberapa ahli jawatankuasa harian Dewan Muslimat PAS Kedah dan Dewan Muslimat PAS Jerai turut menziarahi tiga balu kejadian terbabit. – HARAKAHDAILY 12/9/2021

- Advertisement -