Mara Kelantan belanjakan RM11 juta bantu usahawan negeri

Mohamed Farid (dua dari kanan) menyampaikan cek kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Mock Cheque Inisiatif Bantuan Tambahan Pemulih di Pengkalan Chepa, Kelantan, pada Ahad.
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU – Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kelantan telah membelanjakan sebanyak RM11.8 juta melalui pelbagai skim kemudahan pembiayaan kepada seramai 217 orang usahawan di negeri itu melalui projek masing-masing.

Anggota Jawatankuasa Mara, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, ia meliputi pembiayaan Mara seperti Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE), Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPIM), Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) dan Skim Dananita.

- Advertisement -

Menurutnya, sebanyak 521 penyewa premis Mara negeri itu pula telah mendapat manfaat melalui implikasi kewangan sebanyak RM1.5 juta.

“Ia melibatkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dan moratorium. Sementara, untuk Skim Dananita, sehingga kini sebanyak RM810,000 telah diluluskan, sekali gus memberi manfaat kepada seramai 30 usahawan wanita di negeri ini,” katanya.

Sementara untuk S3P pula, katanya, sebanyak RM2.48 juta telah dibelanjakan yang  memberi manfaat kepada 80 usahawan di Kelantan.

Beliau memberitahu, Mara sentiasa memberi manfaat kepada golongan usahawan di Kelantan melalui pelbagai inisiatif dan bantuan bersesuaian. 

“Kita telah menghampiri bajet 2022 dan saya yakin pakej ini akan diperluaskan lagi selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyampaian Mock Cheque Inisiatif Bantuan Tambahan Pemulih di Pusat Pengurusan Kawasan Industri Mara, Pengkalan Chepa di sini semalam.

Sementara itu, Farid berkata, pihaknya turut menyediakan platform secara maya untuk komuniti usahawan agar mereka sentiasa mendapat informasi terkini mengenai program keusahawanan.

“Program seperti Biznetwork serta beberapa siri pemasaran secara dalam talian yang disediakan khusus untuk usahawan, secara tidak langsung membantu mereka memasarkan produk mengikut norma baharu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/9/2021

- Advertisement -