Gambaran telus hala tuju Bajet 2022 di mata rakyat

Rakyat Malaysia kini berpeluang berkongsi idea dengan kerajaan dalam penyediaan Bajet 2022.
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

BERMATLAMAT agar rakyat berpeluang mendapatkan gambaran awal berkenaan hala tuju, pendekatan yang diambil dan jangkaan kemudahan yang bakal diperoleh daripada Bajet 2022, Kementerian Kewangan (MoF)  telah melaksanakan satu idea yang sangat menarik.

Keterbukaan MoF yang telah bersetuju untuk menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) atau Pre-Budget Statement bermula tahun ini  bukan sahaja sebagai salah satu usaha penambahbaikan proses penyediaan bajet tahunan, tetapi agar ia lebih telus kepada pengetahuan rakyat.

- Advertisement -

Sehubungan itu, MoF pada hari ini, 3 September 2021 telah mengeluarkan kenyataan mempelawa orang ramai untuk berkongsi idea bagi penyediaan Bajet 2022.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sebagai langkah permulaan, MoF telah menerbitkan empat  Kertas Konsultasi Awam (KKA) sebagai pelengkap kepada KPB 2022 yang diterbitkan pada 31 Ogos 2021 itu.

“Empat KKA tersebut ialah Penambahbaikan Dasar Perolehan Kerajaan Berkaitan Barangan/ Perkhidmatan Tempatan dan Bumiputera; Penambahbaikan Program Bantuan Tunai; Kajian Insentif Cukai; dan Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA).

“Maklumat terperinci mengenai KKA berkenaan yang boleh dimuat turun dan maklum balas orang ramai boleh dikemukakan melalui laman web www.mof.gov.my. selewat-lewatnya sehingga jam 5 petang, 15 September 2021, manakala soalan atau maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada [email protected].,” katanya.

Tengku Zafrul yang menggalas tanggungjawab besar sebagai Menteri Kewangan bakal membawa hala tuju dan pendekatan Bajet 2022, kini menjemput orang ramai untuk berkongsi idea dan pandangan.

Bertepatan dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa, KPB sehubungan itu diterbitkan bagi meningkatkan ketelusan dalam proses merangka inisiatif bajet tahunan. 

Ketelusan dan penglibatan menyeluruh rakyat dalam penyediaan bajet tahunan merupakan antara prinsip asas bagi tadbir urus sesebuah negara yang dapat meningkatkan keyakinan awam terutamanya dalam kalangan pelabur.

Langkah pertama kerajaan kali ini juga merupakan sebahagian daripada cadangan rangka kerja penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal bagi meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara. 

Di samping itu, usaha ini dilihat dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pelaporan antarabangsa Open Budget Index (OBI) yang diterbitkan oleh International Budget Partnership (IBP). 

Indeks OBI ditentukan menerusi soal selidik Open Budget Survey yang secara umumnya mengukur tahap ketelusan proses penyediaan bajet tahunan. 

Berdasarkan laporan IBP bagi tahun 2019, Malaysia mencatat skor sebanyak 47 bagi tahap ketelusan berbanding negara serantau seperti Filipina (76), Indonesia (70) dan Thailand (61).

Kenyataan Pra-Bajet 2022 

Dalam merangka strategi pengurusan perbelanjaan bagi Bajet 2022, terdapat tiga faktor yang akan diberi pertimbangan utama.

Pertama ialah keperluan segera untuk terus menangani kesan daripada krisis Covid-19. Faktor kedua pula memfokus terhadap kekangan ruang fiskal impak daripada pengurangan hasil kerajaan dan peningkatan hutang kerajaan.

Faktor ketiga sudah tentu ialah Bajet 2022 itu sendiri sebagai pemangkin dalam pembaharuan struktur bagi jangka masa sederhana sejajar dengan matlamat  Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Berdasarkan senario negara yang sedang dalam proses pemulihan daripada krisis pandemik Covid-19 yang memberi impak terhadap ekonomi negara, Bajet 2022 dirangka berdasarkan kepada empat keperluan utama.

Pertama, adalah keperluan bagi meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui PPN.

Keperluan kedua adalah bagi menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan.

Seterusnya, wujud keperluan untuk memangkin pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan.

Keperluan keempat adalah untuk melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat, membina semula daya ketahanan ekonomi serta memangkin pembaharuan sosioekonomi. Dalam hubungan ini, Bajet 2022 dirangka dengan matlamat untuk terus melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian

Sehubungan itu, pada Jun 2021, Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah dilancarkan sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa bagi mengatasi kemelut pandemik Covid-19. Seiring dengan itu, Bajet 2022 akan meneruskan kesinambungan pelan berkenaan bagi memacu pemulihan negara.

Justeru, bagi memastikan negara berjaya pulih dan keluar daripada kemelut ini, Bajet 2022 akan terus melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian pasca-pandemik. 

Kerajaan juga akan memacu pemulihan bagi sektor ekonomi yang paling teruk terjejas seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

Golongan Orang Asli di negara ini bakal mendapat manfaat daripada Bajet 2022 dan dipastikan tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara.

Bajet 2022 juga akan menumpukan usaha untuk membantu golongan rentan, wanita, Orang Asli dan kurang upaya supaya tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara. 

Di samping itu, usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu akan terus dijadikan keutamaan.

Membina semula daya ketahanan negara

Bertujuan untuk membina semula daya ketahanan negara, khususnya dalam segi ekonomi yang diuji hebat sepanjang krisis pandemik Covid-19, Bajet 2022 kelak akan menekankan kepada beberapa aspek penting.

Krisis Covid-19 ternyata telah mencabar kekentalan daya ketahanan ekonomi negara yang berteraskan kepelbagaian ekonomi, ketahanan fiskal serta keupayaan sistem kesihatan negara. 

Namun dari segi positifnya, ia juga memberi peluang kepada semua pihak untuk mengkaji kekurangan dan memperkukuh lagi ketahanan negara untuk menghadapi kemungkinan krisis serupa pada masa akan datang.

Oleh yang demikian, antara lain Bajet 2022 akan menekankan usaha untuk membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara terlebih dahulu untuk menghadapi krisis kesihatan melalui peningkatan kapasiti dan kualiti, memperkasa modal insan dalam sektor berkenaan serta menjalinkan kerjasama lebih erat antara penyedia perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

Di samping tumpuan kepada aspek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur fizikal, Bajet 2022 akan turut memberikan penekanan ke arah mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi dan sosial pada masa hadapan. 

Bajet 2022 bakal menjadi pemangkin kepada pembinaan semula daya ketahanan negara dari segi ekonomi yang terkesan angkara pandemik Covid-19.

Dari aspek pendidikan, infrastruktur dan aplikasi digital perlu dipertingkatkan bagi membolehkan sistem pendidikan membuat penyesuaian dengan keperluan belajar secara dalam talian di rumah. 

Selain itu, bagi sektor perniagaan, aplikasi dan infrastruktur digital turut memainkan peranan penting sepanjang tempoh PKP bagi memastikan sektor ini kekal beroperasi dan produktif.

Krisis ini juga mendedahkan keperluan untuk negara beralih kepada sektor industri yang mempunyai produktiviti tinggi berasaskan teknologi automasi dan kemahiran tinggi. 

Maka, penekanan juga akan diberikan untuk mempercepat peralihan kepada teknologi IR 4.0 dan transformasi digital serta meningkatkan keupayaan modal insan negara melalui program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula berasaskan permintaan semasa pasaran pekerjaan.

Tidak ketinggalan, Bajet 2022 turut akan mengkaji kaedah untuk membina semula ketahanan fiskal negara yang terkesan disebabkan komitmen kerajaan dalam menampung pakej rangsangan dan bantuan untuk rakyat dan perniagaan.

Memangkin pembaharuan

Krisis Covid-19 juga memberi peluang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi ke arah mewujudkan ekonomi yang lebih lestari serta produktif dan bernilai tambah tinggi. 

Sehubungan itu, Bajet 2022 akan memastikan langkah-langkah pembaharuan dilaksanakan, dengan memberi penumpuan kepada pencapaian SDG, RMK-12 dan WKB2030.

Agenda kelestarian dan kemampanan dalam Bajet 2022 akan terus diperkukuh. Kerajaan akan menumpukan ke arah meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam serta penekanan unsur alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus (Environmental, Social and Corporate Governance/ESG) dalam perkhidmatan awam, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan. 

Krisis yang dicetuskan pandemik Covid-19 di Malaysia membuka peluang buat kerajaan bagi melaksanakan pembaharuan ekonomi ke arah mewujudkan ekonomi yang lebih lestari, produktif dan bernilai tambah tinggi.

Usaha ini menggambarkan tekad negara untuk membangunkan ekonomi yang lebih lestari dan terangkum, yang akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama.

Selain itu, peranan yang dimainkan oleh pertubuhan masyarakat sivil (Civil Society Organisation/CSO) dalam tempoh pandemik ini telah menunjukkan kepentingannya sebagai rakan pembangunan kerajaan dalam menangani pelbagai isu rakyat. 

Oleh itu, kerajaan juga akan memperkukuh kerjasama dengan CSO dalam pelbagai bidang seperti membasmi kemiskinan, meningkatkan modal insan dan meningkatkan kualiti kesihatan rakyat.

Penjajaran Bajet 2022 kepada RMK-12 dan WKB2030

RMK-12 merupakan fasa pertama pelaksanaan WKB2030. Oleh itu, Bajet 2022 juga akan dijajarkan kepada keutamaan RMK-12 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada September 2021. 

Aspek yang diberi penekanan dalam RMK-12 iaitu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian serta pemangkin utama akan dijadikan asas untuk merangka dan melaksanakan program dalam Bajet 2022. 

Pelaksanaan secara bersepadu akan memastikan langkah yang lebih tersusun dan rapi untuk mencapai matlamat jangka pendek dan jangka sederhana untuk kemakmuran negara.

Secara keseluruhannya, Bajet 2022 dirangka dengan jangkaan situasi ekonomi yang akan pulih daripada kesan pandemik COVID-19 pada tahun hadapan. 

Justeru, Bajet 2022 akan memberi tumpuan utama untuk terus melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat dan perniagaan, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan pasca-pandemik.

Bajet 2022 akan berusaha untuk memastikan tiada pihak yang layak tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan, dalam menerima bantuan dan sokongan Kerajaan, terutamanya pihak yang teruk terjejas disebabkan PKP yang berpanjangan pada 2021. 

Bajet 2022 bakal menjadi pemangkin kepada Rancangan Malaysia ke-12 untuk memacu pembaharuan ekonomi negara.

Selain itu, ia  juga merupakan pemangkin ke arah pelaksanaan RMK-12 yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana, berteraskan SDG dan WKB2030.

Sehubungan itu, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai sesi libat urus dan konsultasi bagi mendapatkan input dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan Bajet 2022 yang dirangka adalah komprehensif dan memenuhi aspirasi segenap pihak selaras dengan iltizam Keluarga Malaysia. 

Oleh yang demikian, penerbitan KPB secara telus ini setidak-tidaknya diharapkan akan membantu menetapkan tahap ekspektasi rakyat terhadap Bajet 2022 yang dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober 2021. – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -