Rakyat pelbagai kaum sahut konsep Keluarga Malaysia

- Advertisement -

ALOR SETAR: Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dianggap bersifat inklusif yang merentasi agama, kaum, bangsa dan fahaman politik.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, konsep berkenaan mendidik supaya setiap rakyat Malaysia menjadi satu keluarga.

Malah katanya konsep Keluarga Malaysia bertepatan dengan kehendak Islam di mana setiap mukmin itu bersaudara dan menjadi pelengkap antara satu sama lain.

- Advertisement -

“Ia bersesuaian dengan apa yang terkandung dalam sebuah Hadis Nabi Muhammad s.a.w yang menyifatkan orang-orang beriman itu ibarat satu badan, saling bantu membantu dan turut terasa apabila salah satu anggotanya sakit,” katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Zahir hari ini.

Oleh itu beliau mengajak rakyat segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik bersama-sama menyahut konsep Keluarga Malaysia.

Menurutnya konsep berkenaan boleh diterjemahkan dengan mengembeling tenaga dan berganding bahu menghadapi pandemik Covid-19 yang berlaku sekarang.

Kata beliau Allah melahirkan pemimpin yang prihatin dan dalam masa yang sama mencampakkan rasa taat dan patuh dalam kalangan rakyat terhadap pemerintah.

“Dengan gabungan keprihatinan pemimpin dan kepatuhan rakyat, InsyaAllah, Dia akan keluarkan serta merdekakan negara daripada pandemik,” katanya.

Menteri Besar turut menasihatkan individu yang dikuarantin di rumah kerana positif Covid-19 (tahap 1 dan 2) supaya mematuhi peraturan dan tidak keluar rumah sesuka hati.

Tindakan itu katanya akan membahayakan orang lain dan mengakibatkan wabak terbabit menular tanpa disedari.

“Kekallah berada di rumah. Jangan keluar sesuka hati kerana tindakan sebegini boleh membahayakan orang lain,” jelasnya.

Sanusi juga menggesa mereka yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin segera mendaftar di aplikasi MySejahtera atau di pusat-pusat kesihatan.

Kedah kini ujarnya sedang berusaha untuk mencapai 80 peratus melalui imuniti kelompok mereka berumur 18 tahun ke atas. – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -