PAS Kangar edar 500kg ikan percuma secara pandu lalu

Yusainee (kanan) sedang mengagihkan ikan percuma kepada orang ramai.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Sebanyak 500 kilogram ikan diedarkan percuma kepada orang ramai secara pandu lalu oleh PAS Kangar dengan kerjasama Jabatan Pilihanraya DUN (JPrD) Bintong hari ini.

Yang Dipertua kawasan berkenaan, Ustaz Yusainee Yahya berkata, program kebajikan itu diharap dapat mengurangkan beban penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, ramai penduduk berdepan kesukaran meneruskan kelangsungan hidup sekarang kerana penularan wabak.  

“Jadi kita ambil kesempatan ini untuk berkhidmat kepada masyarakat dan bersama membantu meringankan apa yang dihadapi golongan terbabit.

“Usaha ini walaupun nampak kecil mudah-mudahan ia dapat membantu sedikit sebanyak masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan ikan kepada orang ramai di sini.

Beliau turut merakam tahniah kepada JPrD Bintong kerana berjaya melaksanakan program tersebut ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu seorang penerima, Nuradilah Jamil, 31, melahirkan kesyukuran kerana mendapat ikan percuma yang disumbangkan oleh PAS Kangar.

Nuradilah

“Seronok, hari ini saya tak perlu lagi beli ikan, lagipun sekarang nak pergi pasar perlu patuhi SOP yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak.

“Alhamdulillah, boleh kurangkan sedikit perbelanjaan dapur kerana mendapat  ikan percuma,” katanya.

Perasaan gembira juga dizahirkan Haziqa Hassan, 49, yang turut menerima ikan percuma pada program tersebut.

Begitu juga bagi Hasmi Hashim, 39, yang mengakui terkesan akibat pelaksanaan PKP sehingga menyukarnya keluar mencari rezeki seperti sebelum ini.

Hasmi

“Alhamdulillah, dapat sumbangan ikan percuma. Ia memberi kesan kepada kami yang masih belum dapat bekerja sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -