Laporan transformasi Parlimen akan dihantar ke Kabinet

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan mengenai transformasi Parlimen akan diserahkan kepada Kabinet tidak lama lagi untuk disahkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa bersama antara Parlimen dan kementeriannya juga akan dibentuk untuk memastikan pelbagai cadangan yang dibincangkan mengenai perkara itu dapat dilaksanakan segera sebagaimana telah dipersetujui dalam perbincangan selama 90 minit bersama Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, pada Khamis.

- Advertisement -

“Dengan sukacita saya maklumkan bahawa Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat menerima cadangan itu secara positif dan sebenarnya, bersedia memainkan peranan utama dalam mentransformasi Parlimen kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiga perkara utama yang dibincangkan adalah untuk menghidupkan atau memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen, cadangan untuk mewujudkan akta baharu Parlimen bagi menggantikan Akta Hak Istimewa dan Kuasa Parlimen 1952 (Pindaan 1988) dan perbincangan mengenai lebih banyak pindaan terhadap Peraturan-peraturan dan Peritah-perintah Tetap Dewan Rakyat dan Dewan Negara sedia ada.

Beliau berkata, langkah untuk menghidupkan kembali atau memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bertujuan memberi kebebasan kepada Parlimen dan ia selaras dengan apa yang dilakukan oleh Parlimen lain di peringkat antarabangsa.

Ini berdasarkan Artikel 62 (prosedur Parlimen) dan Artikel 63 (Hak Istimewa Parlimen) di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kata Wan Junaidi.

Mengenai cadangan untuk mewujudkan akta baharu Parlimen bagi menggantikan Akta Hak Istimewa dan Kuasa Parlimen 1952 (Pindaan 1988) beliau berkata bahawa akta yang ada ketika ini seharusnya diganti.

“Akta ini digubal pada 1952, dalam suasana Parlimen 1952. Malah ia bukan persekitaran sebenar Parlimen, kerana ia diwujudkan semasa Tanah Melayu berada di bawah Perjanjian Persekutuan 1948. Akta yang sedia ada sudah benar-benar lapuk dan ketinggalan zaman serta tidak lagi sesuai untuk landskap politik pada abad ke-21,” katanya.

Justeru beliau berkata adalah lebih baik untuk menggubal akta Parlimen baharu yang lebih komprehensif, inklusif dan lengkap berbanding membuat pindaan terhadap akta sedia ada.

“Ia juga selari dengan tindakan kebanyakan negara Komanwel seperti Australia, Kanada, New Zealand dan India,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -