Terima dana asing boleh gugat keharmonian negara

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Biarpun pihak tertentu menafikan berhubung penerimaan dana daripada National Endowment for Democracy (NED), namun kenyataan sedemikian tidak mampu munutup apa yang sebenar berlaku.

Ahli Pimpinan Bersatu Pusat, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, penerimaan wang daripada badan yang berpusat di Amerika Syarikat itu tidak boleh diterima kerana mempunyai kepentingan bertentangan norma masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak mahu Malaysia menjadi proksi Amerika Syarikat dan Israel yang mempunyai agenda seperti penyebaran fahaman liberal, gender ketiga, LGBT dan sebagainya.

- Advertisement -

“Kalau kita minta penjelasan, memang mereka akan nafikan mendapat dana itu, kita pun faham, kerana kerajaan melalui Bank Negara dan sistem perundangan negara mempunyai mekanisma pastikan perbuatan itu tidak berlaku.

“Apabila perkara ini dilaksanakan dengan peruntukan undang-undang sedia ada sepatutnya kemasukan dana luar negara bagi tujuan politik tidak akan berlaku kerana mampu menggugat keharmonian dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri serta program kacau bubur asyura di bangunan Koperasi Wawasan Malaysia Berhad (Kowamas) di Panji di sini hari ini.

Mohamed Farid dalam pada itu turut mencadangkan kepada kerajaan melalui institusi kewangan supaya melihat lebih serius bagi memastikan kebenaran dakwaan tersebut sekali gus kejadian serupa tidak berulang pada masa depan.

“Kita mahu Bank Negara dan Institusi Kewangan untuk pastikan perkara ini dilakukan dengan telus, kalau benar dakwaan ini kita minta maklumkan kepada rakyat dan memperketatkan lagi peraturan yang ada.

“Ini perlu dilakukan agar situasi ini tidak berulang, kepada pembangkang saya minta supaya mereka sedar apa yang dilakukan kerana tindakan ini tidak membawa apa-apa kebaikan rakyat selain kerugian semata-mata,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/8/2021

- Advertisement -