Takiyuddin fokus tingkat bekalan elektrik luar bandar

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Pertukaran portfolio dalam barisan Kabinet merupakan perkara biasa dalam pembentukan sesuatu kerajaan baharu dan tiada kaitan dengan sebarang isu yang berlaku sebelum ini.

Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, pertukaran portfolionya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli tiada kaitan dengan isu pembatalan Ordinan Darurat yang pernah diumumkan ketika menyandang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) sebelum ini.

Beliau menganggap pelantikannya sebagai menteri di bawah portfolio baharu itu sebagai bersesuaian juga dengannya.

- Advertisement -

“Mengenai pertukaran portfolio ini saya rasa tiada kaitan (isu pembatalan Ordinan Darurat) kerana ini adalah satu kerajaan baharu, yang mana setiap portfolio itu sudah tentu diletakkan orang yang sesuai.

“Sebagai contoh saya dulu (menteri) undang-undang. (Sekarang) diletakkan juga pada portfolio seorang yang berlatarbelakangkan undang-undang.

“Begitu juga (Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar) seorang peguam, bekas Timbalan Speaker dan ada pengetahuan serta pengalaman undang-undang yang luas.

“Saya rasa perkara ini biasa, tiada sebab tertentu. Kalau saya dilantik semula di situ (portfolio terdahulu) pun saya boleh bekerja dan kalau tempat lain pun dapat teruskan kerja lain,” katanya ketika sidang media di Pusat Khidmat Anggota Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada beberapa badan bukan kerajaan dan penyampaian Jalur Gemilang.

Lebih 1,000 Jalur Gemilang bersaiz kecil disampaikan pada orang ramai yang melalui pusat khidmat itu hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata, walau bidang tugasnya nanti lebih cenderung ke arah teknikal, tetapi masih merangkumi banyak aspek berkaitan perundangan.

Pada persidangan khas parlimen bulan lepas Takiyuddin menjadi sasaran pembangkang berkaitan pembatalan Ordinan Darurat yang tidak ada perbahasan ahli dewan.

Menurutnya juga bersesuaian dengan portfolio baru beliau akan lebih fokus kepada isu bekalan elektrik di kawasan pedalaman termasuk Yan Kedah yang kini masih terkesan dengan tragedi rempuhan kepala air minggu lepas.

Katanya, setiap menteri yang dilantik sudah menerima arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri agar menunjukkan indeks prestasi utama (KPI) tersendiri dalam tempoh 100 hari pertama menjalankan tugas.

“Kita perlu buktikan kepada Perdana Menteri apa yang kita rancang dan apa yang sudah dicapai.

“Dengan pengalaman yang ada pada semua menteri serta sokongan daripada pegawai, saya yakin kerajaan akan membawa peningkatan dalam pentadbiran dan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2021

- Advertisement -