PM pelawa pembangkang sertai MPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Menurut beliau kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

- Advertisement -

Katanya, ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong menyeru semua pihak agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri hari ini.

“Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.

“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik.

“Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri bagi memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,” ujarnya.

Tegasnya, kata beliau bersama dengan kerajaan ini beliau akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

“Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan.

Hasrat itu, ujar beliau hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

“Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu.

“Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat!” tegasnya. – HARAKAHDAILY 22/8/2021

- Advertisement -