Kerajaan perlu utamakan Pelan Pemulihan Negara

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Kerajaan yang bakal dibentuk di bawah perdana menteri baharu dianggap sebagai kesinambungan dasar sebelumnya di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata diharap usaha pemulihan dapat berjalan lancar memandangkan kerajaan yang ada sekarang masih sama.

Selain itu kata beliau menambah baik kekurangan yang berlaku sebelum ini.

- Advertisement -

“Oleh itu saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-9,” kata beliau ketika ditemui di bilik gerakan operasi Masjid Wusto, Guar Chempedak, semalam.

Ahmad turut menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong di atas bijaksanaan baginda menyelesaikan kemelut politik negara dengan melantik perdana menteri supaya kerajaan dapat berfungsi dengan segera.

Bagaimanapun beliau berharap kepimpinan yang baharu tidak menyampingkan kebajikan terhadap Kedah yang memerlukan perhatian Kerajaan Persekutuan.

“Lagi pun Kedah merupakan negeri pembekal makanan kepada negara dan dalam masa yang sama menghadapi pelbagai masalah terutama berkaitan hasil negeri.

“Keperluan asas di negeri Jelapang Padi ini masih memerlukan perhatian khusus daripada Kerajaan Persekutuan. Semoga perdana menteri yang baharu dapat melihat hal itu dengan lebih baik lagi,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 22/8/2021

- Advertisement -