Bekas pelajar MRSM Ulul Albab pengajar robotik di Amerika

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kota Putra (MRSM Ulul Albab) kini berkhidmat dengan syarikat Tesla di Amerika Syarikat sebagai pengajar robotik.

MRSM Ulul Albab diwujudkan bagi melahirkan golongan korporat dan teknokrat serta pemimpin masa hadapan yang terdiri dalam kalangan hafazan al-Quran.

Fakhirah Khairuddin adalah antara produk kelahiran sekolah berasrama penuh tersebut.

- Advertisement -

Sebelum ini beliau melanjut pelajaran di Kejuruteraan Aeroangkasa di University of California San Diego yang ditaja MARA.

Kemudian melanjut pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di University of California, San Diego.

Selepas menamatkan pengajian Fakhirah mendapat tawaran di Tesla, sebuah syarikat pembuat kenderaan elektrik dan tenaga bersih yang berpusat di Palo Alto, California.

Malah sebelum itu beliau bekerja sebagai Jurutera Pembangunan Propulsi di University of California, di mana Fakhirah menulis kod Matlab untuk mengkaji konduksi haba enjin roket.

Beliau juga pernah memenangi tempat pertama di Northrop Grumman System Engineering Challenge 2019, di mana ketika itu bersaing dengan 50 pasukan dengan mencipta lengan robotik.

Pelajar pintar itu juga merupakan ketua pasukan dan menerajui penyelidikan dan pengembangan Projek Hexacopter bersama University of California, San Diego.

Antara kejayaannya merekacipta quadcopter, casing sensor dan gear pendaratan di Solidworks.

Selain itu mempersembahkan konsep baharu melalui ujian cetakan 3D dan memperbaiki reka bentuk melalui lelaran.

Bekas pelajar MRSM Ulul Albab itu sekarang tinggal di Fremont, California. Di Tesla beliau sebagai pengajar Jurutera Teknik Latihan Robotik, mengajar tentang robotik FANUC dan Kuka. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -