Krisis air: Dua bulan bil air percuma kepada penduduk terjejas

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu amat memahami kesulitan rakyat menghadapi krisis air yang sedang berlaku di daerah Kuala Nerus dan beberapa kawasan Kuala Terengganu akibat paip air yang pecah di dasar Sungai Terengganu.

Menurut Menteri Besarnya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai menghargai kesabaran penduduk yang terjejas, pihaknya bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua akaun terlibat selama dua bulan setelah baik pulih selesai.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya sebentar tadi.

- Advertisement -

Manakala katanya lagi, sepanjang tempoh krisis, Kerajaan Negeri sedang menguruskan bekalan air minuman bersih sampai kepada semua penduduk yang terjejas.

Kata Dr Ahmad Samsuri, sehingga kini, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) masih berterusan melakukan kerja pembaikan paip di dasar sungai.

Kerajaan Negeri juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban rakyat, termasuk semua syarikat bekalan air seluruh negara, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta pihak persendirian.

“Bersama kita doakan agar kerja pembaikan berjalan mengikut jadual sekali gus dapat menamatkan segera krisis air ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -