Tawar rawatan percuma kepada bapa Azizulhasni

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejayaan jaguh berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang merangkul pingat perak acara keirin di Olimpik Tokyo 2020 semalam, meraih perhatian pelbagai pihak termasuk dari Pusat Rawatan Strok dan Fisioterapi Jogohealth yang menawarkan rawatan percuma kepada bapanya, Awang Embong.

Pengasas dan penasihatnya, Datuk T. Murugiah berkata pihaknya sedia menanggung semua kos rawatan, pengangkutan dari Terengganu dan penginapan bagi bapa Mohd Azizulhasni untuk mendapatkan rawatan di pusat itu yang terletak di ibu negara.

- Advertisement -

Beliau berkata tatkala seluruh negara berkongsi kegembiraan menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah di Tokyo, membantu bapa Azizulhasni yang terlantar akibat strok adalah cara terbaik bagi pihaknya menyampaikan penghargaan kepada wira negara itu.

“Jasa dan pengorbanan Azizulhasni dalam memartabatkan sukan negara tidak ternilai. Saya terharu melihat pengorbanan Azizul di televisyen semalam, yang menangis dan meluahkan bahawa bapanya mengalami strok beberapa hari sebelum beliau berlepas ke Tokyo,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Murugiah, yang juga Naib Presiden MIC berkata lazimnya rawatan strok memerlukan masa seminggu hingga enam minggu.

Pusat itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) yang dibawa khas dari Amerika Syarikat, untuk memberikan rangsangan kepada otak dan saraf.

Mohd Azizulhasni yang juga bekas juara dunia 2017, merangkul pingat perak di Olimpik Tokyo semalam selepas memintas juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen sebelum garisan penamat, manakala jaguh Great Britain Jason Kenny yang memecut awal, berjaya mempertahankan pingat emasnya. – BERNAMA

- Advertisement -