Ada yang tidak sabar kejar kuasa politik

Dr Zulkeflee Yaacob
- Advertisement -

LAGAK sesetengah ahli parlimen pada persidangan khas sejak Isnin lepas memperlihatkan mereka seperti tidak sabar mengejar kuasa politik.

Situasi itu boleh dilihat sesiapa sahaja yang mengikuti siaran langsung persidangan tersebut sama ada melalui media rasmi kerajaan atau laman sosial.

Bagi pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Zulkeflee Yaacob sepanjang empat hari persidangan khas berlangsung sehingga semalam, ia tidak memperlihatkan kematangan ahli-ahli parlimen.

Adegan hiruk pikuk dengan menjerit-jerit berlaku seolah-olah parlimen tiada peraturan.

- Advertisement -

“Sebagai rakyat tentunya ramai malu dengan apa yang berlaku itu seolah-olah memperlihatkan sesetengah ahli parlimen kita hilang kematangan,” katanya.

Pada persidangan khas yang bermula Isnin lepas pembangkang seperti mempunyai agenda dengan mencari peluang untuk mengemukakan usul terhadap perdana menteri.

Sedangkan persidangan khas parlimen diadakan bagi membincangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membantu negara keluar daripada wabak Covid-19 yang berlaku sekarang.

Malah semalam Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilapor mahu mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia susulan isu pembatalan Ordinan Darurat yang dilaksanakan kerajaan.

Sedangkan sebelum ini pembangkang asyik mendesak kerajaan membatalkan Ordinan Darurat bagi membolehkan persidangan parlimen diadakan.

Namun setelah kerajaan membatalkan ordinan tersebut pembangkang pula menyifatkan cara pembatalan tersebut tidak betul. Hujah itu ada pro dan kontra dalam aspek tafsiran undang-undang.

Dr Zulkeflee berhujah, dalam situasi sekarang kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar dipertahan kerana terbukti kesungguhan menangani wabak.

Beliau juga bimbang jajaran baru yang diimpi sesetengah pihak boleh mengulangi kemelut lama ketika era Pakatan Harapan (PH). Hak orang Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu menjadi mainan pihak tertentu.

Bgaimanapun pensyarah kanan Sains Politik UiTM Raub Dr Che Hamdan Mohd Razali menjelaskan rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang ada legitimasi.

“Walaupun penyelesaian terbaik adalah pilihan raya namun situasi sekarang tidak mengizinkan. Kalau betul kerajaan PN tidak mendapat majoriti maka ia perlu dibuktikan.

“Itu prinsip asas. Cuma penentuan terhadap pihak mana yang majoriti diharapkan menggunakan proses yang selari dengan demokrasi.

“Bagi saya kerajaan campuran dan perdana menteri interim bukan satu keperluan dan penyelesaian kepada polemik yang berlaku sekarang,” ujarnya.

Malah baginya kerajaan PN perlu meyakinkan rakyat bahawa mereka bertindak selari dengan perlembagaan.

Dr Che Hamdan juga berkongsi pandangan pemulihan PN mungkin boleh melibatkan rombakan kabinet atau tidak menjadi kesalahan untuk memohon maaf atas apa yang berlaku.

Di sebaliknya isu yang berlaku sekarang saintis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid pula hairan kecederungan rakyat Malaysia masih berminat pemimpin yang terpalit isu rasuah.

“Kita perlu tanya kenapa perkara ini berlaku dalam masyarakat di mana kita tetap memuliakan tokoh seperti itu,” ujarnya.

Oleh itu beliau mengajak rakyat bersungguh-sungguh mengamati tingkah laku pemimpin dengan mengambil iktibar peristiwa kejatuhan empayar Melaka akibat korupsi. – HARAKAHDAILY 30/7/2021

- Advertisement -