Pengurusan baru susun hala tuju hartanah LGM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tokoh korporat, Raja Dato’ Idris Raja Kamaruddin yang kini menerajui Lembaga Getah Malaysia (LGM) diberi tanggungjawab menyusun kembali hala tuju hartanah yang dimiliki LGM dan menyelesaikan isu-isu berbangkit.

Ia melibatkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun lalu dan pelan strategik baru LGM serta LGM Properties Corporation (LGMPC) sebagai anak syarikat yang menguruskan hartanah termasuk ladang-ladang milik LGM.

- Advertisement -

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pelantikan Raja Idris sebagai pengerusi LGM berkuat kuasa pada 15 April lalu.

Katanya, Raja Idris selaku tokoh korporat yang pernah mengetuai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan TDM Berhad, anak syarikat Kerajaan Terengganu, diharapkan membawa LGM ke mercu tanda pengurusan yang lebih baik.

Selain itu lebih profesional, berintegriti serta telus berasaskan konsep tadbir urus Rabbani yang ditekankan kepada semua pengurusan tertinggi kementerian serta agensi di bawahnya.

“Pelantikan itu dibuat berikutan Dato’ Ahmad Nazlan Idris ditamatkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia pada 14 April 2021.

“Ini berikutan Ahmad Nazlan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) berkuatkuasa 15 April 2021 bagi menggantikan Dato’ Ahmad Jazlan Yaakob yang telah meletakkan jawatan,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Nazlan menolak pelantikan sebagai Pengerusi MPOB menyebabkan calon baharu bagi jawatan tersebut ditentukan semula menteri.

Bagi melancarkan pentadbiran dan pengurusan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), KPPK Mad Zaidi Mohd Karli dilantik sebagai Pengerusi Interim Lembaga Pengarah MPOB bagi mengelola lembaga itu sebelum ini. – HARAKAHDAILY 5/6/2021

- Advertisement -