Keputusan mahkamah selari usaha kerajaan negeri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Keputusan Mahkamah Rayuan menolak saman kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri berkaitan pertikaian tanah adat di Pos Simpor, Gua Musang dianggap selari dengan kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, keputusan mahkamah tersebut bertepatan dengan pendirian kerajaan negeri sejak dahulu lagi.

“Kerajaan negeri melahirkan rasa syukur. Tiada asas bagi kerajaan Persekutuan untuk saman Kerajaan Kelantan mengenai isu tanah tersebut,” katanya di sini hari ini.

- Advertisement -

Semalam Mahkamah Rayuan menolak saman kerajaan pusat terhadap Kelantan kerana tidak mempunyai lokus standi (kedudukan sah) mengemukakan tindakan undang-undang bagi pihak suku Orang Asli Temiar ke atas kerajaan Kelantan.

Panel tiga hakim yang diketuai Dato’ Lau Bee Lan memutuskan sebulat suara dengan alasan tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang bertulis mengiktiraf locus standi pemerintah Persekutuan untuk menuntut bagi pihak Orang Asli.

Tindakan saman itu dilakukan ketika Putrajaya di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Usaha tersebut diumum Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas pada 18 Januari 2019, di mana kerajaan Persekutuan mahu mengemukakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Kelantan.

Alasan dikemukakan kerajaan PH untuk melindungi kebajikan Orang Asli, yang didakwa memprotes pencerobohan tanah adat mereka.

Malah ketika PH menguasai Putrajaya ada timbalan menteri datang menemui penduduk Orang Asli di pedalaman Gua Musang.

Manakala pemimpin PH datang silih berganti ke penempatan Orang Asli termasuk menghulur sumbangan kepada mereka.

Yang Dipertua PAS Gua Musang Ustaz Ahmad Ahmad berkata, tindakan kerajaan PH menyaman kerajaan negeri sebelum ini tidak sepatutnya berlaku kerana penduduk Orang Asli sentiasa mendapat pembelaan kerajaan negeri.

Katanya, ramai penduduk Orang Asli termasuk di Kuala Betis mendapat geran hak milik lot kediaman mereka yang diberi kerajaan negeri.

“Malah pembangunan hutan yang diluluskan kerajaan negeri sebelum ini didapati jauh daripada penempatan Orang Asli,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -