Hina Agong: Jika Iswardy, Fitri, Najwan tinggal di Thailand…

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana pihak yang melakukan penghinaan terhadap Institusi Raja Berpelembagaan Malaysia, termasuk meminda akta-akta berkaitan.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata ia berhubung tindakan seorang ahli Pakatan Rakyat (PKR), Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial.

“Perbuatan menghina Raja dan Sultan semakin menjadi-jadi sejak tiga tahun kebelakangan ini. Sebelum ini ada individu yang menggunakan nama Fitri Affan Riri di Facebook yang menggelar YDPA sebagai ‘Patung Kuning’.

- Advertisement -

“Sebelum itu, kita dihidangkan dengan pelbagai kata nista dan hamburan berbaur kebencian termasuk oleh ADUN Kota Anggerik yang menghina Raja Permaisuri Agong.

“Terbaru ialah individu bernama Iswardy Morni yang membuat siaran Youtube dengan gaya menghina YDPA.

“Mengapa ini terjadi dan kenapa semakin banyak perlakuan biada seperti ini dilakukan? Peluang langit terbuka dengan kemudahan internet telah digunakan dengan cara paling jijik,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Menurutnya, perlakuan ini perlu segera dibendung agar tidak muncul lagi sebarang tindakan yang disalahgunakan atas hak kebebasan bersuara.

Beliau turut mengingatkan kepada individu-individu terbabit yang berani menggunakan platform media massa yang kononnya mengangkat suara rakyat itu supaya bersyukur dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

“Iswardy, Fitri dan Najwan amat beruntung kerana tinggal di Malaysia, jika di Thailand mereka berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 43 tahun seperti yang dikenakan kepada seorang wanita negara berkenaan kerana menghina Raja Thailand,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan ahli akademik di sebuah universiti tempatan menyarankan agar sistem pendidikan negara disemak semula dalam usaha menyuntik semangat kesusilaan yang tinggi terhadap entiti tertinggi di negara ini.

“Saya berpendapat memang sudah sampai masanya kita menyemak semula sistem tersebut kerana ia telah melahirkan segelintir rakyat yang tidak menghormati Institusi Raja-Raja dan sudah tentunya mereka tidak didedahkan kepada Rukun Negara,” katanya.

Pada Jumaat, Iswardy memuat naik video secara ‘live’ berhubung Toral Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di Youtube rasmi miliknya.

Dalam video itu, Iswardy turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Al-Sultan Abdullah seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19.

Dalam video itu juga Iswardy turut membandingkan Al-Sultan Abdullah dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di Johor. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -