Kes solat tarawih dalam gelap diketengah pendakwa raya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kertas siasatan berhubung kes pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang membabitkan jemaah surau dan seorang ahli politik ziarah raya di Machang akan dibawa ke peringkat pendakwa raya untuk diambil tindakan lanjut.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, pihak polis telah mengambil keterangan daripada enam orang berhubung kes jemaah solat sunat tarawih dalam keadaan gelap secara beramai-ramai pada Ramadan lalu.

- Advertisement -

Namun katanya, menjadi kekangan bagi pihaknya untuk mengambil tindakan susulan kerana mereka kini sedang menjalani tempoh kuarantin.

“Buat masa sekarang hanya enam individu yang membuat pengakuan terhadap perbuatan mereka manakala selebihnya masih belum diambil keterangan susulan perlu menjalani tempoh kuarantin.

“Kita memerlukan beberapa kenyataan dari beberapa saksi, cuma menjadi kekangan saksi masih berada dalam tempoh kuarantin,”’ katanya kepada pemberita dalam satu sidang media yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Pauh Lima, di sini hari ini.

Bagaimanapun kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Sek 269 Kanun Keseksaan

Baru-baru ini seorang imam termasuk tiga jemaah di Kampung Pauh Lima, di sini mengaku menunaikan solat sunat tarawih dalam keadaan gelap secara beramai-ramai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang Ramadan lalu.

Sementara itu, enam individu dipanggil bagi membantu siasatan mengenai satu laporan polis berkaitan majlis hari raya yang diadakan di sebuah rumah seorang ahli politik di Machang baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 26/5/2021

- Advertisement -