Muslimat PAS digesa ambil suntikan vaksin Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyeru Muslimat PAS seluruh Malaysia menyambut baik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dibangunkan kerajaan.

Menurut Timbalannya, Dr Rosni Adam, muslimat-muslimat PAS diminta mengambil suntikan vaksin berpandukan saranan kerajaan memandangkan ia selari dengan tuntuan agama, iaitu mencegah lebih baik dari merawat.

- Advertisement -

“Di sinilah kita diuji dengan konsep wala’. Bukan wala’ itu dari segi perjuangan politik sahaja. Bahkan pimpinan kita juga sudah memang arahkan (terima suntikan), pimpinan kita sendiri pergi menerima vaksin. Kenapa pula kita tidak mahu menerima?

“Itu seruan dari segi Ahli PAS, banyak sebab mengapa kita perlu ambil suntikan vaksin. Keadaan semakin parah, Covid-19 kini berdada di dalam komuniti, keliling kita, kita tidak tahu siapa (pembawa) dan dijangkiti,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.

Jelasnya, demi menyekat penularan jangkitan Covid-19, kerajaan tidak mampu untuk melaksanakan seperti mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sebelum ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyatakan bahawa kerajaan terpaksa membelanjakan trillion ringgit sekiranya PKP 1.0 dilaksanakan semula.

Justeru katanya, mengambil suntikan vaksin seperti yang disarankan adalah salah satu ikhtiar yang ada, bahkan ia juga bukan satu keputusan semberono, namun disarankan oleh mereka yang ahli dalam bidangnya, iaitu pakar-pakar kesihatan.

“Paling kurang (ambiilah sebab) wala’, kita buat ini untuk peranan agama. Ini semua terlibat dalam maqasid syariah, agama kita meletakkan mencegah itu lebih baik dari merawat.

“Follow pimpinan, kita hendak selamatkan nyawa orang lain, keluarga kita, masyarakat, jangan penting diri,” ujarnya.

Tambah beliau, suntikan vaksin tidak sakit, malah kesan sampingan yang dimomokkan tidaklah begitu teruk berbanding komplikasi yang dihadapi segelintir penghidap Covid-19 hari ini.

Beliau yakin, rakyat Malaysia mampu menghadapi sampingan vaksin dengan tabah dan kuat, apatah lagi kesannya begitu minima, iaitu seperti demam biasa, lenguh-lenguh tangan dan sebagainya.

“Takut atau was-was dari segi bahan yang digunakan? Ini kita kena fikir semula, adakah kita lebih hebat daripada Mufti?

“Ini saya tidak faham, sebabnya Majlis Fatwa Kebangsaan sudah membuat keputusan mengenainya.

“Majlis Fatwa ini bukan sembarangan orang (di dalamnya), mereka hendak keluarkan fatwa itu mereka dapatkan pandangan daripada pakar-pakar dan bukan semberono.

“Ada kaedah-kaedah dia, antaranya tidak boleh mendatangkan mudarat dan tidak boleh memberi kemudharatan kepada orang lain.

“Misal kata, kita tolak vaksin sebab takut. Kita kena jihad dengan melawan rasa takut itu.

“Apabila kita menolak vaksin, kita memberi kemudharatan kepada orang lain, cuba tanya diri kita. Salah atau tidak salah?

“Menolak vaksin bermakna kita memberi kemudaaratan kepada orang lain sebab kita tak mampu nak capai herd imunity (imuniti berkelompok).

“Memang kita tidak dapat mengawal penularan, tetapi kita dapat kurangkan dari aspek risiko komplikasi.

“Tetapi, kalau kita tidak dapat capai herd imunity, menolak vaksin, kita telah mendedahkan keluarga kita kepada mudarat.

“Sepatutnya, kita (orang yang boleh menerima vaksin) menjadi benteng kepada orang yang tidak boleh menerima vaksin.

“Allah bagi peluang untuk kita menjadi benteng kepada orang-orang yang tidak boleh terima vaksin seperti kanak-kanak, orang yang ada alergi.

“Kita sendiri perlu meletakkan diri kita sebagai benteng, kita perlu korbankan sikit rasa takut itu untuk menolak kemudaratan yang lebih besar,” jelasnya panjang lebar.

Mengulas mengenai ketakutan segelintir warga emas terhadap kesan sampingan mendapatkan suntikan vaksin, kata Dr Rosni, sebenarnya ada kajian membuktikan peratusan golongan warga emas mendapat kesan sampingan adalah rendah berbanding individu lebih muda.

Justeru itu kata Dr Rosni, semua pihak memainkan peranan penting menyebarkan maklumat dan fakta yang benar supaya tidak berlaku salah faham yang menimbulkan ketakutan awam.

Sebelum ini, Data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menunjukkan individu berusia 50 hingga 64 tahun, 25 peratus akan mengalami kesan sampingan manakala bagi warga emas berusia 65 hingga 74 tahun pula hanyalah empat peratus.

Bagaimanapun, Malaysia meletakkan warga emas sebagai golongan awal menerima vaksin adalah untuk mengelak mereka mengalami komplikasi lebih teruk khususnya bagi yang menghidap penyakit kronik. – HARAKAHDAILY 26/5/2021

- Advertisement -