AstraZeneca: Tempahan janji temu luar jangka, luar biasa

- Advertisement -

VAKSIN AstraZeneca asalnya memang dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Semua yang mendaftar akan mendapat giliran mengikut Fasa 1, 2 dan 3 yang ditetapkan.

Apabila vaksin AstraZeneca mula hendak roll out (dimulakan program suntikan), bantahan dibuat oleh banyak pihak berkaitan isu blood clots yang telah dijelaskan berkali-kali bahawa ia sangat minimal 0.0004 peratus sahaja dalam insiden yang amat jarang berlaku.

Terlalu ramai yang mendesak menolak vaksin AstraZeneca sehingga pada satu tahap, 8,000 yang telah mendaftar dalam MySejahtera untuk divaksinkan telah menarik balik pendaftaran atas alasan tidak mahu kemungkinan ditentukan menerima suntikan vaksin AstraZeneca. Kerajaan perlu menghentikan tindakan menarik diri ini dari menjadi ikutan hingga menjejaskan kelancaran usaha mencapai imuniti kelompok.

- Advertisement -

Berikutan itu, kerajaan mengumumkan mengeluarkan vaksin AstraZeneca dari senarai vaksin yang digunakan dalam program teras PICK. Yang mendaftar MySejahtera tidak lagi perlu khuatir kemungkinan mereka diberi vaksin AstraZeneca. Barulah trend menarik diri berhenti.

Kerajaan masih menjelaskan bahawa Vaksin AstraZeneca adalah setara berkesan dengan jenis vaksin lain yang diluluskan NPRA dalam membendung penularan Covid-19, mengurangkan bilangan yang perlu dimasukkan ke hospital oleh jangkitan yang bergejala teruk dan bilangan kematian yang turun mendadak seperti berlaku di UK. Kerajaan malah menjelaskan saman negara di Kesatuan Eropah terhadap AstraZeneca langsung bukan berkaitan masalah kesan sampingan vaksin Astrazeneca, malah kerana menuntut bekalan vaksin dihantar menurut kontrak mereka. Tidak puas hati kerana bekalan vaksin AstraZeneca tidak cukup.

Dalam masa yang sama kerajaan Sarawak memohon lebih banyak bekalan vaksin supaya imuniti kelompok di Sarawak dapat dicapai sebelum Ogos 2021, tarikh tamat Darurat yang menyebabkan Sarawak tiada pilihan melainkan melaksanakan Pilihan raya Negeri Sarawak setelah itu kerana tempoh penggal tamat pada Jun 2021. Berasaskan apa yang berlaku selepas Pilihan raya Negeri Sabah, pilihan raya Sarawak berisiko tinggi memudaratkan lagi penularan Covid-19.

Kerajaan menawarkan penghantaran bekalan vaksin AstraZeneca sebagai mempercepatkan vaksinasi di Sarawak.

Tawaran ini ditolak oleh Kerajaan Sarawak ketika itu.

Kerana itu kerajaan memutuskan memberikan vaksin AstraZeneca kepada sesiapa sahaja yang lebih 18 tahun yang bersetuju menerima suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela.

Ramai orang muda mengambil vaksin AstraZeneca kali ini.

Untuk tawaran kali kedua apabila bekalan baru AstraZeneca diterima, kerajaan mahu supaya warga emas tetap diberi keutamaan. Kerana itu tiga hari pertama dibuka kepada warga emas.

Pada hari ini, pendaftaran AstraZeneca sangat luar jangka dan luar biasa kerana lebih satu juta orang masuk ke dalam sistem dalam tempoh satu jam memohon slot 1 juta dos vaksin AstraZeneca yang ditawarkan.

Kerana itu sistem yang telah dibuat stress test sebelum ini tanpa masalah pun menjadi sesak dan terganggu.

Kerajaan menerima segala teguran dan saranan tentang pelbagai aspek kelancaran program dan sentiasa bersedia menilai kembali ekoran sambutan terhadap vaksin AstraZeneca ini.

Banyak modul MySejahtera masih perlu secara berterusan ditokok tambah diubahsuai dengan segala realiti di lapangan yang berlaku.

Penambahbaikan akan sentiasa dilakukan semoga meningkatkan kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan mencapai sasaran imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini.

DATUK AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 26/5/2021

- Advertisement -