Kenaikan tarif air buat masa ini tidak wajar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan tarif air ketika rakyat berdepan dengan krisis ekonomi dan kesihatan akibat daripada penularan wabak Covid-19 adalah tidak wajar.

Menurut Pengerusi Lajnah Tanah dan Peneroka Bandar PAS Pulau Pinang, Yacoob Omar, tindakan itu menggambarkan kerajaan negeri bersikap mementingkan diri.

Apatah lagi ketika rakyat Malaysia masih tertekan gara-gara Covid-19, ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPB) sebelum ini yang mencadangkan kenaikan RM3 hingga RM15 bagi pengguna kediaman di negeri itu bergantung kepada penggunaan.

“Lajnah Tanah dan Peneroka Bandar PAS Pulau Pinang merasakan anggaran cadangan kenaikan sehingga 600 peratus ke atas tarif air adalah keterlaluan dan tidak munasabah.

“Ini memandangkan negeri Pulau Pinang masih menikmati bekalan air secara ihsan dari Sungai Muda yang sepatutnya dibayar kos penyelenggarannya kepada kerajaan negeri Kedah.

“Seharusnya PBAPP dan kerajaan negeri lebih memberi tumpuan untuk menyelamatkan sungai-sungai yang berpotensi menjadi sumber air mentah negeri ini selain mengurangkan kebergantungan air mentah dari Sungai Muda yang memerlukan pembiayaan setiap tahun.

“Justeru itu kami menyarankan agar PBAPP bersama kerajaan negeri Pulau Pinang berusaha untuk memulihara kembali sungai-sungai di negeri ini yang rata-ratanya berada pada tahap 4 dan 5 seperti Sungai Kereh dan Sungai Prai.

“Tindakan itu demi masa depan generasi penduduk yang akan datang di negeri ini, bersesuaian dengan cogan kata kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu Cleaner Greener Penang, ” katanya.

Beliau dalam masa sama berharap agar Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat memainkan peranan dengan lebih tegas dan proaktif menangani isu tersebut demi kelestarian penduduk negeri itu di masa hadapan.

Pada Isnin, Bernama melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa memohon semakan semula tarif air di Pulau Pinang bagi menangani risiko air mentah dan memastikan kelestarian bekalan air menjelang 2050.

Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan melaksanakan rundingan awam berkaitan cadangan semakan semula tarif air PBAPP yang dikemukakan pada 2019.

Beliau berkata antara rasional utama permohonan PBAPP untuk semakan tarif air Pulau Pinang adalah termasuk PBAPP mesti terus melabur dalam pembangunan, penaiktarafan dan penyelenggaraan infrastruktur bekalan air untuk mengekalkan status quo tersebut pada tahun-tahun akan datang. – HARAKAHDAILY 26/5/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!