Pembunuhan Hamza Nassar sentuh kemanusiaan sejagat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Provokasi kekejaman dan pencerobohan yang ditimbulkan Zionis Israel mempunyai kuasa untuk menyatukan umat Islam dan umat manusia, kata Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, isu pembunuhan kanak-kanak berusia 12 tahun yang ketika itu berpuasa, Hamza Nassar mampu menyentuh hati seluruh umat manusia, bukan sekadar umat Islam sahaja.

Bahkan, konflik Israel-Palestin ketika ini kata Abdul Hadi turut menyentuh isu keagamaan memandangkan Baitul Maqdis merupakan kota suci buat tiga agama besar iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

- Advertisement -

Jelasnya, ketika bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump membuat keputusan mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel, segelintir dari Ahli Kongres Israel juga tidak bersetuju dengan tindakan Zionis Israel.

“Segelintir Ahli Kongres mereka tidak bersetuju dengan langkah ini kerana akan memberi kesan yang sangat negatif kepada Israel sendiri apabila dia menyerang Al Aqsa, apa lagi di bulan suci, Ramadan.

“(Dalam masa sama,) menyentuh orang Islam, sejahil-jahil orang Islam, Baitul Maqdis bukan sahaja tempat suci orang Islam, termasuk Kristian dan juga Yahudi Ortodoks yang tidak bersetuju negara Israel ditubuhkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara Astro Awani, ‘Dialog Tiga Penjuru: Di Sebalik Senyuman Hamza’, malam ini. Turut menjadi panel ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti.

Tambah beliau, provokasi yang dicipta Zionis Israel untuk menawan keseluruhan Palestin mamou memberu kesan yang sangat positif sekiranya percaturan disusun dengan baik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, strategi Zionis Israel untuk memberi gambaran bahawa HAMAS adalah pengganas sebenar tidak berjalan dengan baik apabila lokasi yang diserang tentera Zionis Israel iaitu Gaza merupakan kawasan awam.

“Israel menyerang Gaza untuk tonjolkan isu keganasan, di atas nama menentang penindasan kerana di sama ada HAMAS, JIHAD.

“Apabila dia menyerang Gaza dan mengatakan alasan bahawa dia menyerang lokasi pengkalan pejuang HAMAS, sebenarnya kawasan di Gaza kebanyakannya merupakan kawasan awam.

“Sedangkan sebenarnya Zionis Israel yang menyerang Gaza terlebih dahulu, bukan HAMAS,” katanya lagi.

Hamza Nassar, seorang kanak-kanak Palestin telah dibunuh oleh tentera-tentera Zionis Israel pada 12 Mei lalu, hari terakhir Ramadan dan sehari menjelang Aidilfitri. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -