KUALA LUMPUR: Kekejaman, pencerobohan yang dilakukan Zionis Israel tidak akan berhenti sehinggalah mereka selesai menawan kesemua wilayah di Palestin termasuk Masjid Al-Aqsa, kata bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, Zionos Israel sememangnya gemarkan provokasi dan peristiwa yang berlaku di bumi Palestin hari ini akan memberi alasan kepada mereka untuk mencapai hasrat itu.
Jelasnya, setelah Zionis Israel menguasai qiblat pertama umat Islam itu, mereka akan merobohkannya untuk mendirikan tempat ibadah mereka dengan alasan Masjid Al-Aqsa merupakan lokasi temple mount sebelum ini.
“Jadi mereka akan ambil tindakan. Sebab itu mereka sentiasa jadikan alasan, ini tempat kami. Sebab itu juga kita lihat, bukan sahaja Al Aqsa, tetapi (kediaman) Sheikh Jarrah, dan satu pekan kecil juga diambil oleh mereka.
“Termasuk mengeluarkan (rakyat Palestin) daripada rumah-rumah mereka, kerana kononnya 3,000 tahun dahulu ini adalah milik orang Israel. Jadi ini tak akan habis.
“Saya percaya akan ada banyak lagi, sama ada provokasi ataupun tidak, tindakan Israel semacam sahaja. Hendak tawan semua kawasan Palestin,” ujarnya dalam satu wawancara Astro Awani, ‘Dialog Tiga Penjuru: Di Sebalik Senyuman Hamza’, malam ini.
Turut menjadi ahli panel ialah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti.
Mengulas lanjut kata Tun Dr Mahathir, kekejaman Israel semakin hari semakin buruk dan tidak mustahil ia akan menjadi lebih dahsyat pada masa hadapan.
Namun, pendekatan yang diambil itu kata Mahathir, tidak mudah untuk diubah memandangkan mustahil untuk Zionis Israel membetulkan diri mereka untuk kebaikan dan kejayaan umat Islam.
“Apa yang harus kita utamakan dalam usaha ini ialah, apa yang boleh dilakukan oleh kita. Kerana banyak benda yang masih boleh dilakukan oleh kita untuk menghalang Israel daripada bertindak ganas seperti sekarang, maksud saya ialah negara-negara Islam perlu bersatu dalam perkara ini sahaja.
“Tidak mengapalah kalau hendak berkelahi sesama sendiri, tetapi untuk Palestin, kita perlu ada satu pendirian iaitu kita tolak perbuatan-perbuatan Israel ini dengan menyatakan secara terbuka ‘Ini bukanlah cara manusia bergerak’.
“Sebaliknya kita juga boleh ambil tindakan terhadap Israel, jadi jangan kita berbaik-baik dengan mereka.
“Jangan kita ada hubungan dagang dengan mereka, jangan kita benar mereka buat penerbangan ke atas ruang udara kita. Ini semua boleh dilakukan oleh kita.
“Tetapi hendak harap Israel ambil tindakan, atau negara negara lain ambil tindakan untuk menjayakan kita, itu adalah satu angan-angan sahaja.
“Mereka tidak akan ubah cara mereka kerana kita dilihat sebagai negara yang lemah, yang tak boleh buat apa-apa,” ujarnya.

Hamza Nassar, seorang kanak-kanak Palestin berusia 11 tahun telah dibunuh oleh tentera-tentera Zionis Israel pada 12 Mei lalu, hari terakhir Ramadan dan sehari menjelang Aidilfitri.– HARAKAHDAILY 20/5/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!