Kutuk Israel, desak Kerajaan Selangor henti politiking

- Advertisement -

TINDAKAN tidak berperikemanusiaan rejim haram Israel ke atas rakyat Palestin sehingga mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa bermula dari penghujung Ramadan lalu sehinggalah ke hari ini cukup dikesali. MN Selangor mendesak Kerajaan Malaysia agar bertindak lebih agresif terhadap rejim berkenaan bersama negara-negera Islam yang lain. Segala bentuk bantuan dan pertolongan perlulah disalurkan segera ke bumi Palestin untuk meringankan kesengsaraan rakyatnya selain membantu membangunkan semula tanah air mereka yang hampir musnah dikerjakan oleh rejim haram itu.

Semua pihak sepatutnya mengenepikan perbezaan dalam membela kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin ini sama ada di Tebing Barat mahupun di Gaza dengan bersatu berdiri sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan bermaruah. Tindakan salah seorang pemimpin PH Selangor dari DAP yang menganggap keprihatinan negara terhadap perjuangan rakyat Palestin sebagai tindakan yang ‘bodoh’ sangat dikesali dan sesungguhnya mencerminkan kepada rakyat betapa tiada akhlak dan biadabnya mereka ini yang sewajarnya ditolak rakyat di masa depan.

- Advertisement -

Dalam pada itu MN Selangor turut merakamkan kebimbangan terhadap meningkatnya kes jangkitan COVID-19 dalam negara khasnya di Negeri Selangor. Angka 2,251 kes baru di Negeri Selangor sahaja pada 19 Mei 2021, iaitu rekod tertinggi dalam negara membuktikan betapa lemahnya pengurusan Kerajaan Negeri Selangor di bawah PH. Walaupun Selangor merupakan salah sebuah negeri termaju di Malaysia dengan memilik kemudahan asas yang terbaik dan PBT yang serba lengkap dan mewah namun gagal dalam mengawal pandemik ini sehingga mengancam keselamatan rakyatnya.

Kerajaan Negeri PH Selangor dilihat lebih cenderung berpolitik dengan menuding jari dan menyalahkan Kerajaan Persekutuan sedangkan mereka sepatutnya berkerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan menggerakkan semua kemudahan dan sumber negeri yang ada demi menghadapi pandemik ini. Malah antara Pasukan Petugas Khas Menangani COVID-19 Selangor (STFC) dan Menteri Besar Selangor sendiri pun kelihatan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah sesama sendiri.

MN Selangor menyeru Kerajaan Negeri agar lebih fokus dan bertanggungjawab selain berkerjasama sepenuhnya dengan Kerajaan Persekutuan agar penularan wabak ini dapat diuruskan dengan lebih baik dan rakyat Negeri Selangor dapat keluar dari kepompong kebimbangan ini. MN Selangor juga merayu agar rakyat negeri ini mematuhi dan mengamalkan sepenuhnya SOP yang diperkenalkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan KKM dan sentiasa mengamalkan norma baru dengan harapan Allah S.W.T membantu kita keluar dari krisis yang cukup membimbangkan ini.

Kenyataan bersama ini dikeluarkan pada semalam Rabu 19 Mei 2021 oleh Pengerusi Bersama Muafakat Nasional Negeri Selangor:

DATO DR AHMAD YUNUS HAIRI 
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor

TAN SRI NOH OMAR
Pengerusi UMNO Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -