Henti politiking memalukan, jangan ‘scam’ rakyat pula

- Advertisement -

LUAHAN kekesalan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kononnya Kerajaan Pusat enggan meluluskan sumbangan dikatakan dari seorang penderma dari sebuah syarikat Antarabangsa bagaikan cubaan meraih simpati. Sebaliknya, isu ini seolah-olah adanya sandiwara dan muslihat politik di pihak Kerajaan DAP Pulau Pinang apabila disahkan tawaran tersebut adalah palsu (bogus) dan penipuan (scam).

Chow bagaikan cuba untuk dilihat sebagai hero rakyat dengan usaha memperolehi vaksin tersebut dan kemudian mempolitikkannya seakan Pulau Pinang ditindas atau dilayan secara tidak adil oleh Kerajaan Pusat. Tetapi hakikat memalukan, apabila sebuah kerajaan ditipu sedemikian dan dalam perkara yang melibatkan kesihatan dan keselamatan awam. Malah, timbul persoalan mengapa Chow begitu beria-ia seperti mahu mempertahankan syarikat tersebut?

- Advertisement -

Jikapun hal ini menjadi satu cubaan DAP meraih perhatian politik dengan mencipta pertembungan acah-acah dengan Kerajaan Persekutuan diterajui Perikatan Nasional, namun jaminan kesihatan dan keselamatan rakyat tidak harus sama sekali diperjudikan. Dalam keterdesakan dunia seluruhnya memerlukan vaksin COVID-19, ia wajib diperolehi yang benar dan dengan sebenarnya untuk mengelak risiko yang lainnya pula. 

Isu ini juga telah menunjukkan sikap gopoh Kerajaan Pulau Pinang dan integriti yang dipersoalkan. Keterujaan terhadap tawaran tanpa disahihkan daripada individu dan syarikat tersebut menjelaskan tadbir urus yang longgar dan tidak profesional Kerajaan Negeri, tetapi menyalahkan pula pihak Persekutuan. Apakah juga Kerajaan Negeri mempunyai kepentingan di sebalik tawaran ‘menggiurkan’ tersebut atau imbalan cuba diraih pihak tertentu.

Kenyataan berbaur ejekan ‘derma politik boleh, derma vaksin tidak boleh’, kini bagaikan meludah ke langit dan jatuh ke muka pihak Kerajaan Pulau Pinang sendiri. Rupanya, pihak Pulau Pinang yang seperti cuba menerima derma politik. Malang sekali, individu berkenaan tidak diketahui dan syarikat tersebut hasil semakan pihak berwajib juga tidak wujud di alam nyata. Mungkin ia hanya wujud di alam mimpi indah DAP.

Sebagai rakyat, kami berharap urusan vaksinasi ini mewujudkan kerjasama baik antara Negeri dan Persekutuan demi kepentingan rakyat dan negara. Masing-masing kita terancam dan vaksin tersebut adalah satu daripada ikhtiar kita untuk menang perang dahsyat ini. Jangan ditambah lagi dengan api politik dan pertembungan yang hanya merugikan semua pihak.

USTAZ HANIF HARON
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -